terengganu.felda
Terengganu kalahkan Felda United 1-0

Oleh Muhammad Aiman

Jaringan dramatik pada minit kelapan masa kecederaan, yang juga sentuhan terakhir perlawanan oleh pemain gantian. Abdul Manaf Mamat membantu Kelantan bangkit dari ketinggalan untuk mencatat keputusan seri 3-3 menentang Selangor dalam aksi Kumpulan B Piala Malaysia di Stadium Shah Alam.  

Tatkala Selangor dilihat sudah hampir mengenggam tiga mata, kesilapan penjaga gol Norazlan Razali yang gagal menangkap rembatan lemah Manaf dalam situasi kelam kabut di depan gawang memaksa Red Giants berputih mata di gelanggang sendiri.

Pengendali Kelantan, Velizar Popov pantas memberikan kredit terhadap komitmen dan kualiti permainan ditunjukkan barisan pemainnya, “Untuk bangkit dari ketinggalan dua gol di tempat lawan, sudah tentunya cukup menakjubkan. Lebih hebat apabila kami melakukannya di saat semua berpendapat perlawanan sudahpun berakhir.

“Pemain ada melakukan kesilapan tetapi pada saya ianya normal dalam satu-satu perlawanan. Mereka tidak perlu takut untuk lakukan kesilapan kerana jika tidak buat silap mereka tidak akan belajar.

“Apa yang penting, mereka bangkit dari kesilapan itu, tidak berputus asa, tampil dengan kerjasama sepasukan jauh lebih baik di penghujung perlawanan, menguasai lebih 60-70 peratus perlawanan. dan terus memberi tekanan kepada lawan sehingga ke sepakan terakhir. Ia satu perlawanan yang hebat.”

Kelantan yang masih segar dengan kemenangan besar 6-1 mengatasi Terengganu Jumaat lalu, bermula dengan corak permainan menyerang dan beroleh tiga peluang keemasan menjaringkan gol dalam 20 minit pertama yang gagal dimanfaatkan Wander Luiz dan Blaze Ilijoski.

Selangor turut mengancam menerusi percubaan R.Gopinathan dan Patrick Ronaldinho, dan berhasil membuka jaringan menerusi rembatan Mauro Olivi pada minit ke-30 hasil kekalutan di depan gawang Khairul Fahmi Che Mat.

Sembilan minit kemudian Ronaldinho menanduk masuk gol kedua Selangor namun Wander Luiz mengurangkan defisit jaringan pada masa kecederaan menerusi rembatan cantik dari dalam kotak penalti yang gagal dijangkau Norazlan.

Kesilapan pemain import Kelantan, Mogaro Gomis membuka ruang untuk Ronaldinho mengembalikan pendahuluan dua gol buat Selangor pada minit ke-49 namun kemasukan Wan Zack Haikal pada minit ke-62 memberi sedikit nafas baru kepada sentuhan barisan depan The Red Warriors.

Wan Zack yang dilayangkan kad merah di gelanggang sama ketika pertemuan pada 18 Mei lalu, kemudiannya menjaringkan gol kedua Kelantan pada minit ke-72 menerusi percubaan lencong dan Manaf yang masuk menggantikan pemain pertahanan, Qayyum Marjoni muncul wira dalam situasi cukup dramatik.

Jurulatih Selangor, Zainal Abidin Hassan berkata, “Ia satu kerugian, pemain buat kesilapan yang tidak sepatutnya. Kita kehilangan dua mata pada ketika sepatutnya mendapat tiga mata dan ianya mengecewakan saya.”

Sementara itu, dalam perlawanan lain yang berlangsung Rabu, Kedah mengukuhkan kedudukan selaku pendahulu Kumpulan A dengan 6 mata setelah menewaskan T-Team 2-0 di Kuala Terengganu, manakala Terengganu mengejutkan Felda United 1-0 dalam aksi Kumpulan D di Jengka. 

- Advertisement -