Jaringan Baddrol Bakhtiar kurang seminit sebelum masa tambahan berakhir pada minit ke-120 membantu juara bertahan, Kedah meneruskan kemaraan ke pusingan ketiga Piala FA dengan menewaskan Negeri Sembilan 1-0.

Kedah mendominasi perlawanan yang berlangsung di Stadium Darul Aman itu sejak dari awal dengan melancarkan deretan percubaan berbahaya namun gagal menemui sentuhan penyudah, tatkala Negeri Sembilan yang turun beraksi buat kali pertama di bawah bimbingan Azraai Khor Abdullah memilih untuk beraksi dengan lebih defensif.

Dengan kedua-dua jurulatih sudah bersedia untuk mengharungi debaran penentuan penalti, Baddrol berada di kedudukan tepat, pada waktu yang tepat untuk menolak masuk dari jarak dekat bola hantaran Syazwan Zainon yang membias kaki pertahanan.

“Kami menyerang, kami menguasai perlawanan tetapi ini sememangnya biasa terjadi, adakalanya kita menang dengan jaringan besar 5-0, 6-0, adakalanya terpaksa berlanjutan ke sepakan penalti. Malah, saya sebenarnya sudahpun mempunyai lima nama untuk melakukan sepakan penalti, memang itu yang saya fikirkan kesudahan perlawanan ini.

“Kredit kepada Negeri Sembilan mereka datang ke sini dan memberikan satu tentangan sengit, tetapi saya juga perlu memberi kredit kepada semua pemain saya kerana mereka tidak berhenti menyerang dan tetap berusaha mencari gol dalam 120 minit permainan untuk menang. Kita tidak tahu, kalau ke penalti mungkin keputusannya berbeza,” kata Ramon Marcote, jurulatih Kedah.

Manakala Azraai yang kembali ke arena kejurulatihan selepas dua tahun lebih menyepi berkata, “Memang bermain secara defensif dan kemudian menyerang menerusi serangan balas adalah apa yang kita rancang sebelum perlawanan, datang ke Kedah untuk menentang sebuah pasukan kuat seperti mereka, ianya bukan mudah.

“Untuk tewas selepas 120 minit berjuang memang perit, tetapi inilah bolasepak. Jika diberi pilihan, bagi saya jika sudah bermain sehingga 120 minit, kalau tewas sekalipun biarlah menerusi penalti. Tetapi saya tetap kagum dengan pemain saya, mereka memberikan sepenuh komitmen dan berjuang sepenuh hati, ia bukan hari kita. Kita tewas kepada pasukan yang lebih baik.”   

Sementara itu, dalam aksi lain yang berlangsung pada Jumaat, dua pasukan Liga Super Kelantan dan PKNS FC turut melepasi halangan pertama dengan mengetepikan tentangan dua pasukan Liga FAM dari Terengganu.

Kelantan menewaskan Terengganu City FC 2-0 menerusi jaringan Cassio Francisco dan Shafiq Shaharudin manakala PKNS bimbingan Datuk K.Rajagobal menewaskan Hanelang FC 4-1 menerusi jaringan Jafri Firdaus Chew, Romel Oswaldo, Rafael Ramazotti dan Nurridzuan Abu Hassan.

Turut mara skuad 100PLUS Liga Premier, UiTM FC yang menewaskan Perlis 3-0 menerusi dua jaringan Bakary Dao dan Asnan Awal Hashim.OLEH MUHD AIMAN 

 

- Advertisement -