Oleh Muhammad Aiman
Jaringan di masa kecederaan oleh ketua pasukan, Thiago Junior membantu Perak bangkit dari ketinggalan untuk mengikat PKNS Selangor 2-2 dalam aksi separuh akhir pertama Piala FA sekaligus menafikan hasrat pasukan Liga Premier itu untuk membawa sebarang kelebihan bagi mengharungi aksi aksi timbal balik.
Sebaliknya, kelebihan kini milik skuad The Bos Gaurus yang pulang ke Ipoh dengan bekalan dua gol di tempat lawan dan berpotensi cerah untuk mara ke final Piala FA pertama mereka selepas 11 tahun apabila melayani kunjungan PKNS bagi perlawanan separuh akhir kedua di hadapan puluhan ribu penyokong sendiri pada 30 April depan.
Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Hang Jebat itu, kedua-dua pasukan bermula dengan agak hambar dan mempamer corak permainan berhati-hati menyaksikan kedudukan terikat tanpa jaringan di separuh masa pertama.
Hanya tiga minit bersambung babak kedua, PKNS berada di depan menerusi jaringan sepakan penalti ayam tambatan yang juga penjaring terbanyak, Gabriel Guerra yang meledak jaringan kesepuluhnya musim ini.
Kelebihan itu bagaimanapun hanya bertahan 10 minit apabila Perak yang tidak rela reputasi mereka tercalar menyamakan kedudukan 1-1 menerusi Nurridzuan Abu Hassan.
Guerra kemudiannya meledak jaringan kedua peribadi menewaskan Hafizul Hakim di gawang Perak pada minit ke-71 sekaligus membawa PKNS menghampiri satu lagi aksi ‘giant-killer’ selepas menyingkirkan dua pasukan Liga Super Terengganu dan Felda United pada pusingan terdahulu.
Begitupun, keresahan E.Elavarasan mengenai kerapuhan benteng pertahanan menjadi nyata apabila tuan rumah sekali lagi gagal mempertahankan kelebihan, kali ini berpunca daripada kelekaan di benteng terakhir yang membolehkan Thiago menanduk masuk gol penyamaan menewaskan G. Jeevanathan pada minit terakhir perlawanan.
Keputusan seri ini bermakna PKNS tiada pilihan selain mencatat kemenangan di Ipoh atau sekurang-kurangnya keputusan seri melebihi dua gol (cth; 3-3, 4-4) jika mahu melakar sejarah layak ke final buat pertama kali.
Satu lagi perlawanan separuh akhir antara Johor Darul Takzim dan Kedah akan berlangsung pada Sabtu, 16 April.