Oleh Muhammad Aiman
Penyandang juara, Johor Darul Takzim (JDT) melangkah ke separuh akhir Piala AFC setelah mengetepikan tentangan sengit kelab Hong Kong, South China FC dalam aksi suku akhir kedua di Stadium Tan Sri Hj Hassan Yunus, Larkin pada Selasa.
Terikat 1-1 gara-gara melepaskan gol minit akhir pada aksi suku akhir pertama di Mongkok, JDT tampil mempertonton permainan lebih kemas dan memanfaatkan sepenuhnya kelebihan beraksi di gelanggang sendiri untuk mencatat kemenangan 2-1 seterusnya mara dengan agregat 3-2.
Setelah aksi hambar pada babak pertama dengan tiada jaringan terhasil, permainan berlangsung lebih rancak di babak kedua dan skuad Harimau Selatan pantas beroleh peluang memecah kebuntuan setelah dihadiahkan sepakan penalti hanya lima minit perlawanan bersambung.
Tendangan kapten pasukan Safiq Rahim bagaimanapun diselamatkan penjaga gol Tsang Man Fai yang memastikan South China terus kekal dalam permainan namun kekebalan mereka tidak bertahan lama apabila hanya tujuh minit selepas itu, Juan Martin Lucero meletakkan JDT di depan setelah menyempurnakan hantaran Azamudin Akil.
Ayam tambatan, Jorge Pereyra Diaz kemudiannya mengesahkan kemenangan mutlak milik JDT tatkala gol masa kecederaan Nikola Komazec sudah cukup terlewat untuk South China menjelmakan kebangkitan.   Â
Kejayaan skuad Mario Gomez mara ke separuh akhir bermakna mereka masih menyalakan misi memburu empat piala bagi tahun 2016 setelah merangkul Piala Sumbangsih, Piala FA dan terbaru Liga Super baru-baru ini.
Di peringkat separuh akhir nanti, JDT akan berdepan sama ada jaguh Singapura, Tampines Rovers atau wakil India, Bengaluru FC â Bengaluru membawa bekalan 1-0 menjelang aksi timbal balik suku akhir di Singapura yang akan berlangsung pada Rabu
Untuk rekod, JDT muncul juara Piala AFC tahun lalu setelah menundukkan Istiklol FC dari Tajikistan 1-0 menerusi jaringan tunggal Leandro Velasquez. Â Â