Oleh Muhammad Aiman
Beregu wanita tenis negara, Jawairiah Noordin dan S. Theiviya mencipta sejarah apabila muncul sebagai gandingan Malaysia yang pertama untuk menjuarai acara beregu di jelajah wanita Persekutuan Tenis Antarabangsa, pada Ahad.
Jawairiah-Theiviya menewaskan gandingan Ksenia Laskutova dari Russia dan Kateryna Sliusar dari Ukraine 7-5, 4-6, 12-10 pada perlawanan akhir Kejohanan Egypt Futures Soho Square di Sharm El Sheikh sekaligus membawa pulang hadiah kemenangan bernilai US$680 (RM2,750).
Gandingan yang tidak diletakkan sebagai pilihan itu dua kali ketinggalan 6-9 dan 9-10 di set penentuan namun bangkit memperkemas permainan dan tampil bertenaga untuk mengesahkan kemenangan cukup bersejarah itu.
Sebelum ini, Malaysia pernah memenangi kejuaraan dalam acara beregu tetapi bukan menerusi gandingan tempatan sebaliknya gandingan pemain luar negara justeru jurulatih kebangsaan S.Selvarajoo menyifatkan kemenangan ini membuktikan pembangunan tenis negara berada di landasan tepat.
“Ianya satu hari yang cukup membanggakan buat saya untuk melihat anak saya (Theiviya) mencipta sejarah bersama-sama Jawairiah. Mereka mencipta kejutan dengan menundukkan pemain di ranking lebih tinggi, beraksi dengan yakin dan tenang, kekal fokus dari awal hingga ke final,” kata Selvarajoo.
Gandingan Jawairiah-Theiviya menundukkan gandingan Ushna Suhail (Pakistan) dan Wang Ziyu (China) 6-0, 6-4 di pusingan pertama sebelum mendapat kemenangan percuma ke atas pilihan utama Victoria Muntean (Perancis) – Melis Sezer (Turki) di pusingan suku akhir.
Mereka kemudiannya menundukkan pilihan ketiga Fanny Ostlund (Sweden) dan Sandra Samir (Mesir) di separuh akhir.
Jawairiah dan Theiviya selepas ini akan beraksi pula di sirkit ketiga Egypt Futures, yang bermula pada Isnin.