Pemain pertahanan Johor Darul Takzim (JDT) Aidil Zafuan Abdul Radzak berpendapat sokongan padu penyokong sendiri di Larkin akan memberi kelebihan kepada pasukannya untuk meneruskan kemaraan dalam saingan Piala Malaysia 2018.

JDT akan menentang Pahang di Stadium Tan Sri Hj Hassan Yunus pada Sabtu dengan kedua-dua pasukan terikat 1-1 hasil pertemuan pertama di Stadium Darulmakmur minggu lalu.

Skuad bimbingan Luciano Figueroa itu sepatutnya membawa pulang bekalan satu gol setelah mendahului 1-0 menerusi jaringan Gonzalo Cabrera namun akur dengan keputusan seri menerusi jaringan lewat permainan Safuwan Baharudin.

Dan ianya Aidil yang menjadi punca terhasilnya gol tersebut apabila dia membenarkan Safuwan melonjak mengatasinya untuk menanduk masuk gol penyamaan menewaskan Farizal Marlias pada masa kecederaan.

“Kita telah bermain dengan cukup berdisiplin sepanjang permainan tetapi kesilapan kecil pada minit akhir menyebabkan kita dihukum. Kita sudah belajar dari kesilapan dan saya janji ia tidak akan berulang lagi.

“Kelebihan bermain di Larkin sudah tentu akan menjadi satu motivasi dan pembakar semangat untuk kita bermain baik dan mencatat kemenangan,” kata Aidil Zafuan yang menjaringkan gol pertama ketika membantu

JDT menjulang Piala Malaysia buat kali pertama dengan menewaskan Kedah dalam aksi final tahun lalu.

Pemain yang turut pernah menjulang Piala Malaysia bersama Negeri Sembilan pada 2009 dan 2011 itu berkata kecederaan di kepala yang dialaminya ketika aksi pertama tempoh hari tidaklah terlalu serius.

Aidil menerima jahitan di kepala kerana dikasari penyerang import Pahang, Iwuji Austin Amutu dan meneruskan aksi dengan kepala berbalut namun menegaskan dia dalam keadaan bersedia sepenuhnya untuk digandingkan sekali lagi dengan Marcos Antonio di jantung pertahanan JDT seterusnya menyekat barisan depan Pahang daripada menjaringkan gol. MUHD AIMAN 

 

- Advertisement -