SMK Taman Desa yang juga Akademi Johor Darul Takzim (JDT) Bawah 17 Tahun mempertahankan gelaran juara Liga Piala Remaja KPM-FAM B17 kali kedua berturut turut selepas melakar kemenangan tipis 1-0 ke atas SMK Mutiara Impian di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang pada Sabtu.
Bermain di laman sendiri nyata tidak mahu disia siakan oleh anak didik Pau Valldecabres Gimeno apabila berada di depan diawal permainan menerusi penyudah Abid Safaraz Rozaidi namun dibatalkan kerana offsaid.
Ia tidak meruntuhkan moral pemain dan usaha bertali arus menyaksikan Arrayan Hakeem Norizam mencetak nama selaku penjaring selepas menyudahkan hantaran silang Muhd Nur Hakim Mohd Irwan sebelum melepaskan rembatan rendah untuk menewaskan penjaga gol SMK Mutiara Impian, Mohd Hafiz Hazwan Aziz Jaafar di minit ke 35.
Kedua dua pasukan nyata mempamer permainan yang cukup baik dengan deretan serangan ke kubu lawan memaksa penjaga gol SMK Taman Desa, Muhd Naqqiudin Zamzuri dan Mohd Hafiz Hazwan Aziz Jaafar yang mengemudi gawang SMK Mutiara Impian bekerja keras sepanjang perlawanan.
Tiada pertambahan jaringan dihasilkan menyaksikan SMK Taman Desa sah mempertahankan kejuaraan untuk kali kedua berturut turut.
Pau Valldecabres memuji permainan yang ditonjolkan oleh pasukan pelawat kerana banyak memberi tekanan ke atas anak didiknya sepanjang perlawanan.
“Kami (Akademi JDT) sentiasa mahu meningkatkan mutu permainan setiap masa. Kami berpuas hati kerana menjadi juara tetapi kami tahu mampu untuk bermain dengan lebih baik.
“Kami perlu ucapkan tahniah kepada pasukan Pulau Pinang (SMK Mutiara Impian) kerana mereka adalah pasukan yang baik dan tidak mudah bermain di final,”kata Pau Valldecabres.
Untuk rekod, pada 2023, Akademi JDT B17 turut melakar kemenangan tipis 1-0 ke atas SMK Syed Hassan di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang.
Tambah Pau Valldecabres lagi, “fokus pemain pemain ini adalah untuk mengharungi saingan Piala Belia 2025 dan mereka perlu berusaha untuk mencari kemenangan kerana itulah misi JDT, mencari kemenangan.”
Ketua jurulatih SMK Mutiara Impian, Noraffendi Taib menyifatkan kesilapan kecil menghukum pasukan namun pemain pemain tetap memberikan tentangan dan menyerap setiap asakan JDT.
“Kesilapan kecil di awal permainan menghukum kami tetapi berjaya untuk bangkit. Walaupun hujan, tetapi kami tetap memberikan permainan yang sengit dan (JDT) dibarisi pemain pemain kebangsaan, kami menyerap tekanan dan berserah kepada takdir.
“Kita memiliki dua atau tiga peluang tetapi tidak dimanfaatkan dan JDT bijak menggunakan peluang yag ada.”kata Noraffendi.
SMK Tama Desa turut merangkul dua anugerah, iaitu Penjaga Gol Terbaik yang dimenangi Muhammad Naqqiudin Zamzuri dan Abid Safaraz Rozaidi yang dipilih sebagai penerima Anugerah Pemain Paling Bernilai.
ANUGERAH PEMAIN LIGA PIALA RAMAJA KPM FAM B17
Penjaring Terbanyak Liga Super Liga Piala Remaja KPM-FAM B17
Muhammad Aniq Haikal Bin Ramlee – SMK Mutiara Impian (SSN Pulau Pinang) – 8 goal
Penjaga Gol Terbaik
Muhammad Naqqiudin bin Zamzuri – SMK Taman Desa (Akademi JDT)
Pemain Paling Bernilai
Abid Safaraz bin Rozaidi – SMK Taman Desa (Akademi JDT)
Anugerah Fair Play
SMK Mutiara Impian (SSN Pulau Pinang)