kedah-perak

Oleh Muhammad Aiman

Johor Darul Takzim (JDT) tidak membenarkan T-Team merosakkan malam pesta mereka di Larkin apabila meraikan kejayaan menjulang trofi Liga Super buat kali ketiga berturut-turut dengan penuh bergaya, menewaskan semifinalis Piala Malaysia itu 5-1.

Lebih manis, ianya kemenangan ke-10 berturut-turut skuad bimbingan Mario Gomez itu di gelanggang keramat mereka sekaligus melebarkan rekod tanpa kalah dalam semua pertandingan di Stadium Tan Sri Hj Hassan Yunus kepada 23 perlawanan.

Amirulhadi Zainal memulakan pesta gol tuan rumah seawal minit keenam, disusuli dua jaringan Juan Martin Lucero pada minit ke-26 dan 34 yang membolehkan JDT mendahului selesa 3-0 sebelum Dilshod Sharafetdinov mengecilkan jurang jaringan pada minit ke-42.

Harimau Selatan bagaimanapun membunuh sebarang peluang The Titans menjelmakan kebangkitan apabila menambah jaringan keempat pada minit akhir separuh masa pertama menerusi jaringan sendiri Abdoulaye Maiga dan hatrik Lucero pada minit ke-61.

Meskipun memberi bayangan akan menurunkan barisan kedua pada perlawanan ini, Gomez tetap menurunkan skuad terbaik dengan menyenaraikan pemain-pemain utama dalam usaha memastikan JDT mengekalkan rekod tanpa kalah dalam saingan liga.

Andai berjaya mengelak dikejutkan Selangor pada aksi terakhir bulan depan, juara Piala Sumbangsih dan Piala FA itu akan mencipta satu lagi sejarah sebagai pasukan pertama mengakhiri musim tanpa kekalahan

Dalam pada itu, gol minit akhir Lutfulla Turaev membantu Felda United bangkit daripada ketinggalan untuk mencatat keputusan seri 3-3 menentang Sarawak di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka.

Anak buah Irfan Bakti berada di depan pada minit ke-18 menerusi tandukan Gilberto Carlos namun Bujang Senang bangkit menjaringkan tiga gol menerusi Tommy Mawat, Nur Syamie Iszuan dan Gilmar Da Silva untuk mendahului 3-1 di separuh masa pertama.

The Fighters merapatkan jurang menerusi Zahrahan Krangar pada minit ke-54 dan pada ketika perlawanan seakan memihak kepada Sarawak, Lutfulla memastikan kedua-dua pasukan berkongsi satu mata.

Perlawanan lain menyaksikan Kedah mencatat kemenangan meyakinkan 3-0 ke atas pasukan bermasalah, Terengganu di gelanggang lawan menerusi dua jaringan penyerang pinjaman Thiago Augusto dan satu jaringan Shane Smeltz.

Kemenangan buat Lang Merah bermakna mereka sah menamatkan Liga Super di tempat ketiga dengan mengumpul 37 mata manakala kekalahan terbaru sang penyu menyaksikan mereka tergelincir ke tangga tercorot dan semakin hampir untuk tersingkir ke Liga Premier musim depan.

Di Shah Alam, kemarau kemenangan Selangor melebar kepada lapan perlawanan setelah tewas 0-1 kepada Perak, hasil gol sendiri jaringan Ugo Ukah.

The Red Giants bagaimanapun kekal di tangga kelima dengan 28 mata, manakala Perak melonjak ke tangga keenam dengan 27 mata dan berpeluang untuk menamatkan musim di kedudukan lima terbaik.

Sementara itu, Pahang menyalakan peluang untuk terus kekal dalam saingan Liga Super musim depan apabila menewaskan Pulau Pinang 1-0 di Darul Makmur menerusi jaringan tunggal Mathew Davies.

Tiga mata yang diraih membantu tok gajah melonjak ke tangga kesepuluh dan keluar dari zon penyingkiran dengan mengumpul 20 mata, manakala Pulau Pinang yang mengumpul 19 mata tergelincir ke tangga kesebelas.

Aksi terakhir pada 22 Oktober akan menentukan siapakah di antara Sarawak, PDRM, Pahang, Pulau Pinang dan Terengganu yang akan tersingkir ke Liga Premier.

- Advertisement -