Oleh Muhammad Aiman
Johor Darul Takzim terus buntu mencari kemenangan pertama dalam saingan Piala Malaysia, apabila sekadar mampu mencatat keputusan seri 1-1 menentang Perak dalam aksi yang berlangsung di Stadium Larkin pada Rabu.
Jaringan ketua pasukan Safiq Rahim pada minit ke-15 memadam jaringan awal Perak yang mendahului pada minit ketiga menerusi Oybek Kilichev, sekaligus menyelamatkan satu mata buat tuan rumah.
Namun keputusan seri ketiga dari empat perlawanan itu bermakna JDT bimbingan Mario Gomez terperosok di tangga tercorot Kumpulan C dengan tiga mata, dan wajib menang baki dua perlawanan menentang PKNS Selangor dan PDRM jika mahu terus kekal dalam saingan.
Satu mata buat skuad Karl Heinz Weigang pula menyaksikan mereka menerajui Kumpulan C dengan tujuh mata, mengatasi PDRM yang turut mengumpul tujuh mata menerusi perbezaan jaringan.
Dalam satu lagi aksi yang berlangsung di Stadium Hang Jebat, PKNS Selangor terus menghidupkan peluang mereka untuk ke suku akhir setelah melakar kemenangan sulung dengan menundukkan PDRM 1-0.
Gol tunggal PKNS dijaringkan Shahurain Abu Samah pada minit ke-28, membolehkan PKNS mengumpul empat mata.