Oleh Muhammad Aiman
Jaringan Aidil Zafuan Abd Radzak di pertengahan separuh masa kedua membantu Johor Darul Takzim mengatasi barisan 10 pemain Felda united 3-2 sekaligus semakin hampir untuk merangkul trofi Liga Super buat musim ketiga berturut-turut.
Dalam aksi penuh tegang dan kontroversi di Stadium Tun Abdul Razak, penyerang kebangsaan Amri Yahyah meletakkan Harimau Selatan mendahului pada minit ke-29 sebelum Juan Martin Lucero menggandakan kelebihan menerusi sepakan penalti pada minit ke-36.
Skuad bimbingan Irfan Bakti bagaimanapun menterjemahkan kebangkitan pantas menerusi jaringan Syahid Zaidon pada minit ke-37 diikuti jaringan Hadin Azman pada minit ke-44 untuk mengikat kedudukan 2-2 di separuh masa pertama.
Separuh masa kedua menyaksikan Felda kehilangan khidmat pemain pertahanan Norfazly Alias yang dilayangkan kad kuning kedua dan tidak sampai seminit pemain itu keluar padang, JDT menjaringkan gol ketiga menerusi Aidil untuk menghadiahkan The Fighters kekalahan pertama di gelanggang sendiri.
Di sebalik aksi menarik dipertonton kedua-dua pasukan, perlawanan dibayangi oleh kegagalan pengadil perlawanan mengesan jaringan sepakan percuma Safiq Rahim yang dilihat sudahpun melintasi garisan gol di separuh masa pertama, selain tindakan kurang bijak Amri yang mencetus provokasi sehingga hampir tercetus pergaduhan.
Dengan kemenangan ini, skuad bimbingan Mario Gomez mengumpul 49 mata, tujuh mata mengatasi Felda dan hanya memerlukan tiga mata sahaja lagi dari baki tiga perlawanan terakhir untuk mengesahkan kejuaraan.
Dalam pada itu, jaringan masa kecederaan pemain kebangsaan, Baddrol Bakhtiar membantu Kedah menewaskan Kelantan 2-1 di Kota Bharu seterusnya mengukuhkan cengkaman mereka di kedudukan ketiga liga.
Kedah mendahului di separuh masa pertama menerusi Halim Ashaari namun rembatan cantik Wan Zack Haikal berjaya mengikat kedudukan 1-1 dan pada ketika perlawanan dilihat menuju keputusan seri, Baddrol menghadiahkan tiga mata berharga buat Lang Merah.
Skuad bimbingan Tan Cheng Hoe itu kini mengumpul 31 mata, tiga mata mengatasi pasukan tangga keempat Selangor yang sekadar mencatat keputusan seri 1-1 menentang Sarawak di Kuching.
Selangor yang mencari kemenangan pertama dalam enam perlawanan, gagal mengakhiri kemarau mereka dan bernasib baik untuk pulang dengan satu mata setelah jaringan Adam Nor Azlin memadam kelebihan tuan rumah yang mendahului menerusi Junior Aparecido di babak pertama.
Gergasi merah kuning menamatkan perlawanan dengan sembilan pemain setelah dua pemain pertahanan Bunyamin Omar dan Ugochukwu Ukah dilayangkan kad merah.
Perak pula menyalakan peluang untuk menamatkan musim di kelompok empat teratas setelah beraksi garang membelasah Pulau Pinang 4-1 di Ipoh. Gol buat skuad Karl Heinz Weigang dijaringkan oleh D.Kenny Palraj, Fazrul Hazli Kadri, Ridzuan Hussam dan Elias Fernandes manakala Ranti Martins menjaringkan gol tunggal Pulau Pinang.
The Boss Gaurus kini mengumpul 24 mata dan berada di tangga keenam hanya dipisahkan menerusi beza jaringan dengan Kelantan yang turut mengumpul 24 mata, namun kekalahan skuad Harimau Kumbang menyaksikan mereka kembali tergelincir ke tangga kesebelas.
Sementara itu, T-Team mencatat kemenangan 2-1 ke atas PDRM menerusi jaringan Norhakim Hassan dan Dilshod Sharafetdinov untuk kekal di tangga ketujuh dengan 23 mata.
Manakala Terengganu dan Pahang berkesudahan dengan keputusan seri 1-1 di Gong Badak dengangol buat kedua-dua pasukan terhasil di sepuluh minit terakhir perlawanan.
Jaringan penalti Issey Nakajima pada minit ke-87 cukup untuk sang penyu memadam kelebihan Pahang yang sebelum itu mendahului pada minit ke-81 menerusi Pablo Vranjican dan mengutip satu mata untuk melonjak ke tangga kesepuluh manakala Pahang kekal di tangga tercorot.
KEDUDUKAN LIGA SUPER MALAYSIA 2016
No | Teams | P | W | D | L | GF | GA | GD | Pts |
1 | Johor Darul Ta’zim | 19 | 15 | 4 | 0 | 46 | 12 | +34 | 49 |
2 | FELDA United | 19 | 13 | 3 | 3 | 42 | 20 | +22 | 42 |
3 | Kedah | 19 | 8 | 7 | 4 | 23 | 25 | -2 | 31 |
4 | Selangor | 19 | 7 | 7 | 5 | 27 | 23 | +4 | 28 |
5 | Kelantan | 19 | 6 | 6 | 7 | 32 | 29 | +3 | 24 |
6 | Perak | 19 | 6 | 6 | 7 | 25 | 25 | 0 | 24 |
7 | T–Team | 19 | 6 | 5 | 8 | 25 | 26 | -1 | 23 |
8 | PDRM | 19 | 5 | 5 | 9 | 18 | 27 | -9 | 20 |
9 | Sarawak | 19 | 5 | 4 | 10 | 26 | 35 | -9 | 19 |
10 | Terengganu | 19 | 5 | 4 | 10 | 21 | 37 | -16 | 19 |
11 | Penang | 19 | 4 | 6 | 9 | 30 | 35 | -5 | 18 |
12 | Pahang | 19 | 3 | 5 | 11 | 19 | 40 | -21 | 14 |