Seperti diramal, Johor Darul Takzim (JDT) mempertahankan trofi Liga Super buat musim keempat berturut-turut namun hasrat mereka untuk melakukannya dengan penuh bergaya tidak kesampaian setelah mengalami kekalahan mengejut 1-2 kepada Selangor pada Sabtu.
Sebaliknya, ianya kekalahan pasukan tangga kedua, Kedah dengan angka jaringan sama kepada Pahang dalam satu lagi perlawanan yang membantu Harimau Selatan mengesahkan kejuaraan lebih awal dengan baki tiga perlawanan lagi untuk diharungi.
Dalam aksi berlangsung di Stadium Selayang, JDT terlebih dahulu membuka jaringan pada minit ke-39 menerusi Ignacio Insa Bohigues yang kekal sehingga tamat separuh masa pertama.
Selangor bangkit menyamakan kedudukan menerusi Amri Yahyah pada minit ke-49 sebelum pemain sayap lincah, Andik Vermansyah mengesahkan tiga mata buat Red Giants menerusi jaringan kedua pada minit ke-77.
JDT yang mengumpul 45 mata dari 19 perlawanan, berkelebihan 11 mata ke atas Kedah manakala kemenangan buat Pahang menyaksikan mereka mengumpul 33 mata dan mengukuhkan cengkaman di kedudukan ketiga. Selangor kekal di tangga kelima dengan 30 mata.
Dengan pemburuan kejuaraan sudahpun ternoktah, persaingan kini cukup sengit bagi merebut kedudukan selaku naib juara di antara lima pasukan iaitu Kedah, Pahang, Felda, Selangor dan Perak manakala lima pasukan lagi iaitu T-Team, Melaka, Kelantan, Sarawak dan Pulau Pinang bersaing mengelak dari tersingkir ke Liga Premier musim depan.
Di Stadium Darulmakmur, skuad tok gajah beroleh jaringan menerusi Yamil Romero pada minit ke-64 dan Matheus Alves (m-80) manakala Kedah membalas menerusi Syafiq Ahmad pada minit ke-77.
Felda pula gagal memanfaatkan prestasi buruk dilalui Kelantan untuk pulang dengan tiga mata apabila sekadar mampu mencatat keputusan seri 1-1 di Kota Bharu. Ifedayo Olusegun memberikan jaringan pendahuluan buat Felda pada minit ke-25 namun Kelantan mengikat kedudukan seminit kemudian menerusi Alesandro Celin.
Pasukan bimbingan B.Sathianathan itu berada di tangga keempat dengan 30 mata manakala Kelantan kekal di tangga kesembilan dengan 18 mata.
Perak turut menyalakan peluang untuk menamatkan musim selaku naib juara setelah mencatat kemenangan 2-0 ke atas PKNS FC hasil jaringan Nazrin Nawi dan Gilmar Da Silva. Skuad bimbingan Mehmet Durakovic berada di kedudukan keenam juga dengan 30 mata.
Di Kuching, Sarawak merakam kemenangan 2-0 ke atas Pulau Pinang manakala Melaka membelasah T-Team 5-1 di Kuala Terengganu sekaligus dilihat sebagai keputusan penting di dalam menentukan hidup mati perjuangan mereka untuk terus kekal bermain dalam Liga Super musim depan.
T-Team ketika ini mengumpul 19 mata, manakala Kelantan dan Melaka masing-masing 18 mata, Sarawak mengumpul 17 mata dan akhir sekali Pulau Pinang di kedudukan tercorot dengan 12 mata. – OLEH MUHAMMAD AIMAN