Oleh Muhammad Aiman
Johor Darul Takzim berdepan laluan berliku dalam misi mempertahankan kejuaraan Piala FA apabila dihadiahkan aksi suku akhir sukar setelah diundi menentang seteru dari Liga Super, Pahang.
Ini adalah kali keempat dalam tempoh lima musim kedua-dua pasukan dipertemukan dalam saingan Piala FA dengan kesemuanya dimenangi skuad tok gajah.
Perlawanan JDT – Pahang juga dilihat pertembungan suku akhir paling mencuri tumpuan – bukan sahaja kerana membabitkan pertemuan dua pasukan Liga Super tetapi juga kerana kedua-dua pasukan sedang berada pada prestasi terbaik masing-masing.
Dalam pada itu, satu lagi pasukan pilihan yang juga juara tiga kali, Kedah akan berdepan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) FC.
Pendahulu Liga Super itu masih belum tewas dalam 10 perlawanan (semua pertandingan) musim ini namun berdepan cabaran PKNP yang turut cemerlang – tewas hanya sekali dalam 10 perlawanan terakhir, skuad bimbingan Tan Cheng Hoe pastinya tidak akan mengambil mudah perlawanan ini.
Pendahulu 100Plus Liga Premier, Negeri Sembilan pula diundi bertemu pasukan bergelut dengan prestasi, Sabah.
Negeri Sembilan yang menyingkirkan dua pasukan Liga Super, Selangor dan Pulau Pinang untuk melangkah ke kelompok lapan terakhir buat kali pertama dalam empat musim, kini berpeluang mengakhiri kempunan enam tahun tidak beraksi di separuh akhir.
Kali terakhir skuad bimbingan Asri Ninggal itu bermain di separuh akhir adalah pada 2010, tahun di mana mereka muncul juara dengan menewaskan Kedah di perlawanan akhir.
Satu lagi aksi suku akhir, akan menemukan juara 2011, Terengganu bimbingan Irfan Bakti menentang Sarawak.
Aksi suku akhir pertama dijadual berlangsung pada 31 Mac dan 1 April depan manakala aksi timbal balik pada 21 dan 22 April. Â Â Â Â Â