Juara bertahan, Kedah; juara Liga Super, Johor Darul Takzim dan pasukan Liga Premier, PKNP FC selangkah sahaja lagi untuk mara ke separuh akhir Piala Malaysia setelah kesemuanya mencatat kemenangan di gelanggang lawan dalam aksi suku akhir pertama yang berlangsung pada Jumaat.

Dalam aksi di Stadium Selayang, Kedah menundukkan finalis musim lalu, Selangor 3-2.

Skuad bimbingan Nidzam Adha Yusoff itu membuka jaringan pada minit ke-10 setelah Ken Ilso Larsen menyempurnakan hantaran Rizal Ghazali dan mengukuhkan kedudukan lima minit kemudian sekali lagi menerusi sentuhan penyudah pemain Denmark itu.

Rufino Segovia merapatkan jurang pada minit ke-53 setelah menanduk masuk hantaran Syahmi Safari namun pemain kebangsaan, Syazwan Zainon mengembalikan kelebihan dua gol buat Kedah pada minit ke-68 dengan menyempurnakan hantaran Liridon Krasniqi.

Selangor cuba bangkit dengan menjaringkan gol kedua sekali lagi menerusi Segovia yang menampan masuk hantaran Andik Vermansyah dua minit kemudian namun Kedah utuh bertahan untuk membawa pulang bekalan satu gol bagi aksi timbal balik di Darul Aman.

JDT pula membawa bekalan selesa tiga gol setelah membenam Melaka United 4-1 di Stadium Hang Jebat.

Skuad Harimau Selatan itu mendahului 2-0 menerusi jaringan Mohamed Ghaddar pada minit ketujuh dan 34 namun Marko Simic memastikan Melaka kekal dalam persaingan dengan menjadikan kedudukan 1-2 pada minit akhir separuh masa pertama.

JDT bagaimanapun tampil lebih unggul di babak kedua dengan menambah dua lagi jaringan menerusi Ignasio Insa pada minit ke-68 dan Safiq Rahim lima minit sebelum permainan  berakhir sekaligus menyaksikan Melaka berdepan tugas sukar menterbalikkan keputusan di Larkin 24 September depan.

Di Jengka, PKNP melakar kejutan sensasi apabila menundukkan pasukan Liga Super, Felda United 3-1 menerusi hatrik jaringan ketua pasukan Shahrel Fikri Md Fauzi pada minit ke-11, 45 dan 67.

Hadin Azman menjaringkan gol tunggal buat skuad bimbingan B.Sathianathan pada minit ke-76. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -