Pendahulu Liga Super, Johor Darul Takzim seperti dijangka membawa pulang tiga mata dari Kota Bharu namun mereka bernasib baik untuk tidak dimalukan barisan pemain muda Kelantan yang mengerah mereka bekerja keras sebelum melakar kemenangan 2-1.

Skuad bimbingan Raul Longhi itu terpaksa mengharapkan penalti Safiq Rahim pada minit ke-40 dan gol separuh masa kedua oleh Natxo Insa untuk bangkit daripada ketinggalan setelah Mohamed Ghaddar meletakkan tuan rumah di hadapan pada minit ke-11.

Dengan kemenangan ini, skuad harimau selatan mengukuhkan cengkaman di takhta Liga Super dengan 18 mata manakala Kelantan bimbingan Fajar Ibrahim kekal di tangga kesebelas dengan empat mata.

Pahang pula kembali merampas kedudukan kedua dari Terengganu FC dengan 14 mata setelah menundukkan Melaka United 2-0 di Stadium Darulmakmur, Kuantan menerusi jaringan Patrick Cruz pada minit ke-72 dan Faisal Abdul Halim pada minit akhir perlawanan.

Dalam pada itu, Selangor menamatkan badi kemenangan dengan menundukkan Negeri Sembilan 2-1, di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras.

The Red Giants sebelum ini tewas empat perlawanan berturut-turut justeru gol jaringan Rufino Segovia dan Sean Eugene Selvaraj memastikan mereka mencatat kemenangan ketiga musim ini sekaligus kemenangan pertama liga buat Nazliazmi Nasir.

Begitupun, tiga mata buat Selangor menyaksikan kemarau kemenangan Negeri Sembilan pula berterusan kepada lima perlawanan, dengan Azraai Khor Abdullah masih memburu kemenangan sulungnya sejak kembali mengendalikan pasukan itu.OLEH MUHD AIMAN 

 

- Advertisement -