Oleh Muhammad Aiman
Juara bertahan, Johor Darul Takzim (JDT) dihadiahkan laluan berliku untuk mempertahankan kejuaraan Piala FA, apabila diundi berdepan naib juara Liga Super, Felda United seawal pusingan kedua yang akan berlangsung 17 Februari depan di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka..
Nasib sama turut dialami finalis musim lalu, PKNS Selangor yang bakal bertandang ke Hang Jebat untuk bertemu juara 100 Plus Liga Premier, Melaka United yang telah berbelanja besar untuk memperkuatkan pasukan dan dianggap sebagai satu daripada pencabar utama kejuaraan bagi musim baru.
Untuk rekod, Harimau Selatan bimbingan Mario Gomez muncul juara buat kali pertama selepas menewaskan PKNS FC 2-1 dalam aksi final musim lalu.
Hanya dua perlawanan tersebut akan menyaksikan pasukan Liga Super berentap sesama sendiri namun yang lebih menarik adalah apabila melihat tiga pasukan – Kelantan, Selangor dan Perlis – turut berada di dalam undian meskipun telah mengancam menarik diri dari Liga Malaysia kerana kekangan kewangan.
Kelantan juara 2012 dan 2013 akan berdepan pendatang baru Liga Premier, Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) FC, Selangor akan menentang Negeri Sembilan manakala Perlis berdepan PDRM.
Namun, persoalan yang timbul adalah bagaimana Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) boleh mengambil risiko meletakkan pasukan-pasukan yang masih dalam ketidakpastian ini untuk bermain terus di pusingan kedua dan bukannya bermula dari pusingan pertama?
Lima perlawanan pusingan pertama membabitkan 10 pasukan Liga FAM akan membuka tirai saingan Piala FA pada 5 Februari, justeru FMLLP sepatutnya memberi ‘bye’ kepada tiga lagi pasukan Liga FAM (selain KDMM FC, UKM FC dan MPKB BRI yang sudah sedia mendapat ‘bye’) manakala Kelantan, Perlis dan Selangor pula ‘diarah’ bermain di pusingan pertama.
Ini kerana seandainya benar-benar terjadi tiga pasukan itu menarik diri walaupun ketika ini dilihat sekadar mahu bermain wayang, ia sekadar akan menjejaskan kelancaran dan prestij pertandingan.
JADUAL PIALA FA (PUSINGAN PERTAMA)
PENJARA FC vs FELCRA (K2)
SUNGAI ARA FC vs MOF FC (K3)
PBMM FC vs SAMB FC (K4)
SIME DARBY vs SHAHZAN MUDA (K5)
AIR ASIA FC vs DYS FC (K6)
Bye: KDMM FC (K1), UKM FC (K7), MPKB-BRI (K8)
PUSINGAN KEDUA
K8 vs PULAU PINANG
PKNP FC vs KELANTAN
MELAKA vs PKNS FC
PERAK vs K4
FELDA UTD vs JDT
K5 vs KUANTAN FA
JDT II vs PAHANG
KEDAH vs KUALA LUMPUR
K6 vs UITM
PERLIS vs PDRM
K2 vs TERENGGANU
SELANGOR vs NEGERI SEMBILAN
SARAWAK vs MIFA MISC
SABAH vs K7
T-TEAM vs ATM
K1 vs K3