Oleh Muhammad Aiman
Johor Darul Takzim memulakan aksi pusingan kedua Liga Super dengan cukup bergaya apabila membelasah Pahang 6-0 di Stadium Darulmakmur seterusnya merampas kedudukan pendahulu yang sekian lama digenggam Felda United.
Meskipun beraksi di gelanggang lawan, JDT nyata terlalu kuat untuk disaingi barisan muda Pahang tatkala skuad bimbingan Mario Gomez tampil dengan kelas tersendiri untuk meledak tiga jaringan di setiap babak permainan.
Juan Martin Lucero menjaringkan dua gol pada minit keenam dan 47 manakala bintang import Jorge Pereyra Diaz meledak hatrik pada minit ke-29, 55 dan 76.
Pemain pertahanan Marcos Antonio menjaringkan satu lagi gol buat JDT pada minit ke-33.
JDT mengutip 27 mata, berkelebihan dua mata di tangga teratas mengatasi Felda United yang mencatat keputusan seri 2-2 menentang Pulau Pinang.
Felda hampir berputih mata di gelanggang sendiri apabila jaringan penyamaan Francis Forkey Doe pada minit ke-83 menyelamatkan satu mata buat anak buah Irfan Bakti.
Sebelum itu, Pulau Pinang yang menamatkan pusingan pertama di tangga tercorot, bangkit dari ketinggalan 0-1 kepada jaringan Syamim Yahya untuk mendahului 2-1 menerusi sentuhan Reinaldo Lobo dan Osas Saha.
Sementara itu, Selangor mengukuhkan cengkaman di tangga ketiga setelah bangkit dari ketinggalan untuk menewaskan Kelantan 5-2.
Kelantan mendahului menerusi jaringan Blazhe Ilijoski pada minit ke-10 namun ianya Selangor yang lebih bernafsu memburu jaringan selepas itu menerusi jaringan Hafiz Kamal (m-15), R.Gopinathan (m-20), Nazmi Faiz (m-34) untuk mendahului 3-1 di separuh masa pertama.
Razman Roslan dan Hazwan Bakri menambah dua lagi gol di babak kedua pada hari yang menyaksikan Kelantan sekali lagi terpaksa bermain 10 orang setelah Wan Zaharulnizam Zakaria dilayang kad merah.
Sementara itu di Kuala Terengganu, jaringan Norshahrul Idlan Talaha dan penalti Joseph Kalang Tie memastikan Terengganu merakam kemenangan 2-1 ke atas T-Team.
Terengganu menunjukkan peningkatan dalam tiga perlawanan terakhir dan tiga mata pada Sabtu membolehkan skuad Mike Mulvey melonjak ke tangga keenam dengan 16 mata.
Sementara itu di Shah Alam, jaringan minit akhir Liridon Krasniqi membantu Kedah meraih satu mata menentang PDRM setelah kedua-dua pasukan menamatkan perlawanan dengan keputusan 1-1.
Dalam satu lagi perlawanan, Sarawak terus mendaki dalam kedudukan liga, apabila merakam kemenangan selesa 3-0 ke atas Perak di gelanggang lawan di Ipoh.
Gol-gol buat Sarawak dijaringkan Junior Aprecido, Gilmar Silva dan Ndumba Makache.
KEDUDUKAN LIGA SUPER MALAYSIA 2016
No | Teams | P | W | D | L | GF | GA | GD | Pts |
1 | Johor Darul Ta’zim | 12 | 9 | 3 | 0 | 29 | 8 | +21 | 30 |
2 | FELDA United | 12 | 9 | 1 | 2 | 28 | 11 | +17 | 28 |
3 | Selangor | 12 | 6 | 4 | 2 | 21 | 15 | +6 | 22 |
4 | T–Team | 12 | 4 | 4 | 4 | 18 | 16 | +2 | 16 |
5 | Kedah | 12 | 3 | 7 | 2 | 14 | 15 | -1 | 16 |
6 | Terengganu | 12 | 5 | 1 | 6 | 15 | 21 | -6 | 16 |
7 | PDRM | 12 | 3 | 5 | 4 | 12 | 16 | -4 | 14 |
8 | Kelantan | 12 | 3 | 4 | 5 | 19 | 22 | -3 | 13 |
9 | Sarawak | 12 | 3 | 3 | 6 | 19 | 24 | -5 | 12 |
10 | Perak | 12 | 2 | 5 | 5 | 15 | 20 | -5 | 11 |
11 | Pahang | 12 | 2 | 3 | 7 | 15 | 32 | -17 | 9 |
12 | Penang | 12 | 1 | 4 | 7 | 16 | 21 | -5 | 7 |