jdt-tgganu

Oleh Muhammad Aiman

Dua gol ayam tambatan Jorge Pereyra Diaz dan satu jaringan ketua pasukan, Safiq Rahim memastikan Johor Darul Takzim (JDT) menjinakkan Terengganu 3-0 seterusnya melakar sejarah muncul pasukan pertama menjulang trofi Liga Super buat tiga musim berturut-turut.

Beraksi di hadapan lebih 30,000 penyokong sendiri di Stadium Tan Sri Hj Hassan Yunus, JDT membuktikan mereka berada di kelas tersendiri dengan menguasai hampir keseluruhan permainan dan melancarkan deretan serangan berbahaya ke gawang kawalan Sharbinee Allawee.

Kesilapan pertahanan Terengganu menjatuhkan S.Kunanlan pada minit ke-27 membawa padah, apabila pengadil menghadiahkan sepakan penalti yang mudah disempurnakan Diaz dan kedudukan 1-0 bertahan sehingga tamat separuh masa pertama.

Usaha sang penyu menjelmakan kebangkitan di babak kedua tidak berhasil sebaliknya Harimau Selatan dilihat cukup sukar untuk disekat dan mereka melebarkan jaringan pada minit ke-82 sekali lagi menerusi penalti, kali ini disempurnakan Safiq setelah Diaz dijatuhkan Sharbinee.

Diaz kemudiannya memanfaatkan kekalutan di depan gawang Terengganu pada minit ke-86 untuk menjadikan kedudukan 3-0 seterusnya memastikan JDT mempertahankan kejuaraan yang dimenangi pada 2014 dan 2015 dengan penuh bergaya.

“Pemain begitu mahu menamatkan pemburuan kejuaraan dengan awal, semua pemain memainkan peranan di atas kemenangan ini, mereka menunjukkan satu permainan yang bijak dan matang. Kerjasama sepasukan yang ditunjukkan sepanjang musim adalah kunci kejayaan JDT mempertahankan kejuaraan.

“Kredit kepada semua pemain, bukan semata-mata pemain dalam kesebelasan atau senarai 18 pemain, tapi keseluruhan skuad, kejayaan ini adalah milik semua. Kini, kami boleh segera mengalih tumpuan kepada perlawanan Piala AFC menentang South China pada Selasa,” ujar ketua jurulatih JDT, Mario Gomez.

Kemenangan pada Jumaat membolehkan JDT mengumpul 52 mata, 10 mata mengatasi pasukan tangga kedua Felda United manakala Terengganu pula kekal bergelut di zon penyingkiran dengan hanya 19 mata.

- Advertisement -