Penguasaan gergasi selatan tanah air, Johor Darul Takzim (JDT) dalam saingan Liga Super berterusan selepas melakar kemenangan selesa 2-0 ke atas Pahang di Kuantan malam tadi.
Pelawat tidak menunggu lama untuk membuka tirai gol menerusi Gonzalo Cabrera yang bijak menyudahkan hantaran silang Mohammed Ghaddar untuk JDT mendahuui 1-0 di minit kedua perlawanan.
JDT terus mengasak kubu lawan namun peluang peluang terhidang gagal dimanfaatkan dengan sebaik baiknya.
Pelawat memastikan tiga mata milik mereka apabila meraih gol kedua menerusi rembatan Natxo Insa dipenghujung perlawanan.
JDT mendahului sembilan mata di depan Kedah yang berada di tempat kedua, sementara Pahang yang berada di tempat ketiga ketinggalan tiga mata di belakang Kedah.Â
Sementara itu, Kedah meneruskan misi mengekori JDT selepas bangkit dua kali untuk menundukkan Melaka United 4-2.
Beraksi di Stadium Hang Jebat, Melaka United mendahului 1-0 di minit ke 10 menerusi Marko Simic namun Lang Merah bangkit menyamakan kedudukan menerusi Baddrol Bakhtiar lima minit berselang.
Beraksi di gelanggang sendiri jelas memberi suntikan semangat buat M.U apabila mereka kembali didepan di minit ke 31 sekali lagi menerusi Marco Simic.
Kedudukan itu bagaimanapun tidak bertahan lama apabila Baddrol sekali lagi melakar nama selaku penjaring untuk Kedah kembali mengikat kedudukan dua sama empat minit sebelum tamat babak pertama perlawanan.
Separuh masa kedua menyaksikan penguasaan kedah yang bermain dengan lebih aggresif untuk menambah tekanan ke atas pemain tuan rumah.
Kealpaan pertahanan pantas dihukum Lang Merah apabila Berjaya mendahului 3-2 di minit ke 56 menerusi gol Akram Mahinan.
Tatkala Melaka United cuba mencari gol penyamaan, Asri Mardzuki menutup sisa perjuangan tuan rumah apabila menyumbat gol keempat pelawat di penghujung perlawanan untuk keputusan muktamad memihak Kedah 4-2.
Dalam pada itu, jaringan tunggal Francis Forkey Doe memastikan Selangor pulang dengan tiga matapenting untuk berada di tangga ke empat liga selepas melakar kemenangan tipis 1-0 ke atas Perak.
Selangor kini berkongsi 23 mata dengan Felda United yang berada di tangga kelima dibezakan dengan jumlah jaringan.
Di Kuching, tuan rumah Sarawak gagal memanfaatkan kelebihan dilaman sendiri selepas tewas 1-3 di tangan Felda United.
Skuad kendalian B Sathianathan  berterima kasih dengan jaringan hatrik pemain import Thiago Augusto yang memastikan kemenangan untuk The Fighters selepas meledak gol di minit ke 10, 35 dan 55.
Gol saguhati Bujang Senang hadir menerusi penyudah Aliff Hassan di minit ke 70 perlawanan.
Di Utara tanah air, PKNS FC yang kehilangan E Elavarasan yang direhatkan susulan prestasi merudum pasukan kembali mendapat suntikan semangat selepas meraih kemenangan ke atas Pulau Pinang.
Patrick Ronaldinho dan Abdou Jammeh memastikan tiga mata penting Berjaya dibawa PKNS FC untuk menjarakkan diri daripada zon penyingkiran.
Selepas mengharungi 15 perlawanan PKNS FC mengumpuk 15 mata tiga mata didepan Melaka United yang berada di zon penyingkiran ketika ini. – KU MOHD LUFTI