Oleh Muhammad Aiman

Di sebalik mahu mengurangkan perbelanjaan kelab demi menjaga kestabilan kewangan, juara Liga Super dan Piala FA, Johor Darul Takzim (JDT) terus memperlihatkan ‘kerakusan’ mereka di dalam mendapatkan pemain terbaik tempatan.

Kali ini giliran pemain sayap lincah, R.Gopinathan menyertai pasukan yang menjulang tujuh kejuaraan termasuk Piala AFC dalam tempoh tiga tahun itu, meninggalkan Selangor yang mengambil masa terlalu lama untuk memberi kepastian mengenai masa depannya.

Untuk rekod, Gopinathan adalah pemain ketiga Selangor menyertai JDT setelah Nazmi Faiz Mansor dan Ahmad Hazwan Bakri, yang baru sahaja dinobatkan Penyerang Terbaik dan Pemain Paling Bernilai di Anugerah Bolasepak Kebangsaan beberapa hari lalu.

Dia adalah rekrut kelapan JDT bagi musim baru selepas Nazmi, Hazwan, Syahrul Azwari, Safawi Rasid, Haziq Nadzli, Brian Ferreira serta dua pemain dari JDT II, Darren Lok dan Dominic Tan.   

Pemain yang menjulang dua kejuaraan Piala Malaysia bersama Pahang pada 2013 dan 2014 itu sebelum ini lebih banyak dikaitkan dengan perpindahan ke pendatang baru Liga Super, Melaka United setelah tidak kelihatan pada sesi latihan skuad gergasi merah kuning yang bermula minggu lalu.

Dalam kenyataan pertamanya selepas menyertai Harimau Selatan, Gopinathan berterima kasih kepada pemilik, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim serta pengurusan pasukan berkenaan yang mempercayai kebolehannya. 

“Bukan mudah untuk terpilih ke dalam salah satu pasukan yang terbaik di Asia Tenggara seperti JDT ini yang serba lengkap dari semua aspek dan mempunyai barisan pengurusan dan pemain yang terbaik. Saya akan berusaha bersungguh-sungguh serta melakukan yang terbaik untuk membantu pasukan JDT mengekalkan piala sedia ada dan membantu pasukan untuk layak ke ACL 2017.”

- Advertisement -