Tiga perlumbaan di Australia yang akan menjadi pembuka kalendar lumba basikal dunia terpaksa dibatalkan susulan peningkatan kes jangkitan pandemik Covid 19.
Jelajah Down Under 2021 serta perlumbaan lebuhraya Cadel Evans Ocean lelaki dan wanita diputuskan terpaksa dibatalkan susulan keadaan tidak menentu pandemik Covid 19.
Perlumbaan berstatus World Tour, Down Under yang memasuki edisi ke 23 bemula pada 19 Januari manakala perlumbaan lebuhraya Cadel Evans Great Ocean Wanita dijadual bermula pada 30 Januari disusuli saingan bagi kategori lelaki sehari kemudian.
Kebanyakan pasukan akan berkampung di Australia kerana selain Down Under, turut berlangsung Jayco Herald Sun yang sepatutnya dilangsungkan pada Ogos selepas ditunda dari jadual asal iaitu pada awal Februari namun dibatalkan.
Australia ketika ini berjaya menurunkan kes jangkitan Covid 19 menerusi sekatan dan kawalan ketat.
Situasi semasa yang memerlukan pasukan untuk menjalani kuarantin sebaik tiba di negara itu menjadi sebab pasukan pasukan utama memutuskan untuk tidak menyertai perlumbaan.
Pengarah Eksekutif Events South Australia Hitaf Rasheed menjelaskan kepada cyclingnews.com, pihaknya berusaha sedaya upaya untuk memastikan perlumbaan Down Under yang menjadi ikon sukan berbasikal dinegara itu berjalan dengan sebaik mungkin.
Perbincangan dan kerjasama telahpun diadakan melibatkan semua pemegangtaruh, bahagian kesihatan dan polis Australia Selatan, namun kerana prosedur yang ketat, risiko yang bakal ditanggung serta proses kuarantin ditambah dengan keputusan semasa penutupan pintu masuk negara itu akan menyukarkan pergerakan kira kira 400 individu yang terdiri daripada pelumba, pegawai pasukan dan petugas.
Justeru, Jelajah Down Under yang dijadual bermula dari 14 hingga 24 Januari akan digantikan dengan perlumbaan domestik yang akan ditentukan kelak.
Perancangan telahpun dijalankan dan kini berada di fasa akhir sebelum ia diumumkan kepada umum penghujung bulan ini.
Kebanyakan pasukan yang berpengkalan di Eropah khususnya memilih untuk berlumba di benua itu kerana tidak bersetuju untuk menjalani proses kuarantin 14 hari sebaik tiba di Australia.
Malah, mereka perlu menjalani proses kuarantin selama 14 hari sebaik pulang dari Australia
Penganjur Cadel Evans Great Ocean juga memaklumkan perlumbaan itu terpaksa dibatalkan memandangkan pasukan pasukan utama yang berpengkalan di Eropah memutuskan untuk memfokuskan perlumbaan di benua itu.
Namun mereka telahpun merancang untuk penganjuran bagi tahun 2022.