jeonsa (3)

 

jeonsa (2)

Oleh Muhammad Aiman

Kelab Bolasepak Jeonsa (JFC) tekad mahu memanfaatkan peluang dan kepercayaan yang diberi untuk membawa nama Malaysia di pentas antarabangsa, apabila beraksi di Kejohanan Persahabatan Remaja Piala Soong Ching Ling.

JFC, sebuah kelab pembangunan bolasepak professional yang ditubuhkan pada 2014 diberi penghormatan mewakili negara di kejohanan itu di Beijing, China dari 29 Julai hingga 4 Ogos depan.   

Ketua jurulatih JFC, Kamal Daut berkata seramai 15 pemain telah dipilih mewakili JFC ke Beijing menerusi sesi pemilihan terbuka yang telah diadakan pada bulan Ramadhan yang lalu dan berharap JFC akan dapat memberikan tentangan sengit untuk melangkah sekurang-kurangnya ke peringkat kalah mati.

“Tidak ramai pemain yang hadir untuk pemilihan kerana ia berlangsung pada bulan puasa, tetapi kami berjaya pilih 15 yang terbaik, yang dilihat ada bakat dan potensi.

“Kebanyakan negara Asean yang lain menghantar pasukan kebangsaan, jadi ianya satu peluang yang baik untuk anak-anak muda ini menimba sebanyak mungkin pengalaman. Kita hanya berlatih selama sebulan, itupun hanya pada setiap hujung minggu jadi tidak adil untuk kita meletakkan sasaran tinggi.  

“Tetapi saya yakin pemain semuanya bersemangat untuk mengharumkan nama negara, apa jua keputusan kita sasarkan satu pencapaian positif dari Beijing, layak ke peringkat kalah mati sudah tentunya dikira bagus.”

Kamal turut memberitahu bahawa Jeonsa dalam proses menubuhkan sebuah akademi bolasepak untuk kanak-kanak berusia di bawah 12 tahun justeru menganggap penyertaan di kejohanan ini dapat memperkenalkan mengenai JFC kepada masyarakat setempat, khususnya Lembah Klang. 

Di Beijing, JFC diundi dalam Kumpulan A bersama dua pasukan dari negara tuan rumah iaitu Shenzhen dan Yanbian, selain Vietnam dan juga Myanmar.

Malaysia akan membuka tirai aksi pada Ahad, 31 Julai dengan menentang Yanbian (China), disusuli Vietnam dan Myanmar pada Isnin, sebelum menentang Shenzhen pada 2 Ogos. 

Manakala dalam Kumpulan B pula akan menyaksikan pertembungan di antara satu lagi wakil tuan rumah Beijing bersama-sama Indonesia, Thailand, Kemboja dan Laos.

Untuk makluman, kejohanan Piala Soong Ching Ling diadakan bersempena meraikan ulangtahun ke-25 hubungan yang terjalin antara China dan negara-negara Asia Tenggara (ASEAN).

- Advertisement -