Oleh Muhammad Aiman
Hasrat wakil Malaysia, Kelab Bolasepak Jeonsa untuk menutup cabaran Kejohanan Persahabatan Piala Soong Ching Ling (SCL) 2016 di China dengan satu lagi kejutan, tidak kesampaian apabila tewas 0-3 dalam aksi final kepada Laos sekaligus terpaksa berpuas hati dengan pencapaian selaku naib juara.
Jeonsa yang diberi penghormatan membawa nama Malaysia, mencuri tumpuan apabila mara ke final dengan mengungguli saingan Kumpulan A, hasil kemenangan ke atas Vietnam serta dua wakil tuan rumah Yanbian dan Shenzhen, selain mencatat keputusan seri tanpa jaringan menentang Myanmar.
Namun kecemerlangan itu gagal diteruskan di pentas final oleh skuad bimbingan Kamal Daut yang hanya dibentuk pada penghujung bulan Ramadhan yang lalu.
Bagi Presiden Jeonsa, Arifin Adenan, pencapaian sebagai naib juara disifatkannya sebagai permulaan baik buat kelab itu yang pertama kali beraksi di pentas antarabangsa dan beliau memuji disiplin serta semangat luar biasa ditunjukkan semua pemain dan pegawai dalam mengangkat nama Malaysia.
“Untuk menamatkan kejohanan di tempat kedua dari sepuluh pasukan pastinya sesuatu yang hebat. Kita terasa agak kerdil kerana semua maklum, kebanyakan negara menghantar pemain skuad kebangsaan mereka serta dari akademi bolasepak profesional termasuk tuan rumah yang menghantar tiga pasukan terbaik negara mereka.
“Namun berbekal semangat tidak akan pernah mengalah, pemain sahut cabaran dan lakukan yang terbaik untuk mengharumkan nama negara. Aksi pemain-pemain cilik kita berjaya mencuri tumpuan penganjur dan juga negara-negara lain yang mengambil bahagian.
“Mereka membuktikan mereka tidak gentar bersaing dengan siapapun. Secara keseluruhan, kita datang dengan tertib, pulang dengan kepuasan,” ujar Arifin.
Untuk rekod, Piala SCL dianjurkan bersempena ulangtahun ke-25 hubungan China dan negara-negara Asia Tenggara (ASEAN), bermula 28 Julai hingga 3 Ogos.