Oleh Muhammad Aiman

Jeonsa FC menyekat Felda United dari membawa bekalan selesa bagi menghadapi aksi separuh akhir kedua Liga Bolasepak Rakyat Wanita apabila tewas tipis 0-1 kepada pilihan utama kejohanan itu.

Dalam aksi separuh akhir pertama berlangsung di Pusat Latihan Jeonsa di Stadium Raja Muda Abdul Aziz, Kampung Baru, skuad bimbingan Zamri Ismail itu membuktikan status selaku pasukan underdog bukan alasan untuk mereka memberi laluan mudah kepada Felda United.

Berdepan asakan The Fighters sejak dari sepak mula permainan, Jeonsa menampilkan corak permainan defensif yang baik malah turut beberapa kali mencemaskan pintu gol lawan terutamanya di separuh masa pertama.

Hujan lebat di separuh masa kedua sedikit menjejaskan rentak kedua-dua pasukan dan Felda tampil menguasai sepenuh perlawanan dengan melancarkan serangan bertali arus. Kerja keras Felda membuahkan hasil apabila jaringan tunggal perlawanan terhasil pada minit ke-49 dan meskipun mencipta beberapa lagi peluang, tiada tambahan jaringan terhasil.

Bagi Zamri, dia gembira dengan semangat juang dan disiplin ditunjukkan pemainnya, “Sebelum perlawanan saya katakan kepada pemain jangan gentar dengan reputasi mereka, kita tahu mereka adalah pasukan yang jauh berbeza jadi tidak perlu kita mencabar diri untuk menyamai mereka. Apa yang penting adalah kita lakukan sebaik mungkin yang kita boleh.

“Dan pemain saya membuktikan mereka boleh menyaingi Felda. Memang kita tidak banyak menyerang, tetapi disiplin dan komitmen ditunjukkan mereka cukup bagus. Bagi saya, untuk kita tewas tipis kepada sebuah pasukan yang mempunyai beberapa pemain kebangsaan (futsal), dan menang 9-0 di suku akhir sudah tentunya satu keputusan yang sangat baik.”

Aksi timbal balik akan berlangsung pada Ahad, dengan Jeonsa akan beraksi selaku tuan rumah di Stadium Mini UPM, Serdang dan Zamri berpendapat peluang masih ada untuk pasukannya melakar kejutan.

“Seperti semua tahu, pasukan wanita Jeonsa baru dibentuk pada Disember jadi untuk layak ke separuh akhir sudah dianggap satu kejayaan besar. Kita berdepan sebuah pasukan yang sangat kuat jadi pesanan saya kepada mereka jangan memberi tekanan kepada diri sendiri, kita masih ada perlawanan kedua, kalah atau menang, pemain-pemain saya wajar diberi kredit,” ujar Zamri lagi.

- Advertisement -