pemain-jeonsa-ceria-setelah-mencatat-kemenangan-4-1-ke-atas-team-forces

Oleh Muhammad Aiman

Kejutan terhasil seawal aksi pusingan pertama Piala FA Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) apabila Kelab Bolasepak Jeonsa menyingkirkan finalis musim lalu Team Forces dengan kemenangan bergaya 4-1 di Padang Pusat Latihan Jeonsa, Stadium Raja Muda Abdul Aziz, Kampung Baru pada Sabtu. 

Meskipun perlawanan terpaksa dihentikan dua kali gara-gara hujan lebat, ia tidak merencatkan momentum tuan rumah yang turun dengan motivasi tinggi mahu memperbaiki pencapaian mara ke suku akhir tahun lalu.

Dua jaringan pantas menerusi pemain pertahanan Azeddy Misra dan penyerang Izzat Razlan Aris masing-masing pada minit ke-19 dan 20 membolehkan Jeonsa bimbingan Kamal Daut mendahului 2-0 di separuh masa pertama.

Selesa menguasai perlawanan, Jeonsa mengukuhkan cengkaman apabila pemain pertahanan Naim Fadil menolak masuk bola yang gagal ditangkap kemas penjaga gol TF, Danial Asyraf Azrin pada minit ke-41 dan Shaiful Sharuddin mematikan sebarang peluang kebangkitan buat pelawat menerusi jaringan keempat 10 minit kemudian.

Gol saguhati buat TF dijaringkan N.Subshantiran hasil sepakan penalti yang dihadiahkan setelah bola terkena tangan pemain Jeonsa pada minit akhir perlawanan.

“Menyingkirkan wakil Liga Super yang juga naib juara musim lalu sudah tentunya satu pencapaian cemerlang. Ia satu perlawanan sukar tetapi pemain menyerap tekanan dengan baik. Formasi 4-2-3-1 yang diterapkan membuahkan hasil di mana ia membantu kita menguasai tengah dan mencipta banyak peluang menjaringkan gol,” kata Kamal.

kamal-biru-paling-kiri-percaya-jeonsa-ada-kualiti-melangkah-jauh-kali-ini

Kamal turut memuji komitmen dan semangat juang tinggi ditunjukkan barisan pemain mudanya, “Kita pertaruhkan hanya seorang pemain berusia 23 tahun selebihnya bawah 20 tahun, dan ada dua pemain kita berusia 16 tahun. Empat pemain tonggak kita yang menduduki SPM dan saya jangka tidak dapat diturunkan, sanggup mengorbankan waktu belajar mereka untuk hadir membantu perjuangan pasukan pada hari ini.”

Pada aksi pusingan kedua, Jeonsa dijadual berdepan sama ada MAFC atau SL-Pawana United, dan Kamal berpendapat pasukannya mempunyai kualiti diperlukan untuk melangkah sejauh mungkin pada edisi kali ini.

Untuk rekod, Jeonsa yang ditubuhkan pada 2014 mencipta sejarah pada tahun pertama penubuhannya apabila menjuarai Liga Divisyen Satu FAS 2014/2015 dengan menewaskan Kota Raja FC dalam aksi final, sekaligus membolehkan mereka layak beraksi di Liga Premier.

Beberapa pemain dari pasukan itu seperti Azeddy, Naim, Zulhilmi Haikal Zamrisham, Jamalulail Hassan dan Syawalludin Fikri pula telah diserap ke skuad Piala Presiden Kuala Lumpur dan mereka komited mahu terus membekalkan pemain berkualiti bagi menyinari arena bolasepak tempatan.

- Advertisement -