JEONSA_LAUNCH2

Oleh Muhammad Aiman

Masih segar dengan pencapaian muncul naib juara di Kejohanan Persahabatan Jemputan Piala Soong Ching Ling 2016 di China baru-baru ini, Kelab Bolasepak Jeonsa terus mengorak langkah ke depan dalam merealisasikan hasrat melahirkan bakat-bakat baru dan berkualiti tinggi bagi mewarnai arena bolasepak tempatan menerusi penubuhan Akademi Bolasepak Jeonsa.

Akademi itu yang akan mula beroperasi pada 1 September depan, dirasmikan oleh Pengarah Bahagian Sukan Kementerian Pelajaran Malaysia, Dr. Mehander Singh Nahar Singh dalam Majlis Riang Ria Aidilfitri anjuran Jeonsa dengan kerjasama Kelab Penyokong Bolasepak Johor Lembah Klang (KPBJLK) pada Sabtu.

Bagi Presiden Jeonsa, Mohd Arifin Adenan, beliau melihat penubuhan Akademi Jeonsa ini sebagai satu kesinambungan yang baik kepada beberapa kejayaan yang telah dicapai kelab itu dalam tempoh dua tahun penubuhannya, seterusnya menambah kerancakkan industri bolasepak tanah air.

“Tahun lalu pasukan Jeonsa telah menjuarai Liga Divisyen 1 Persatuan Bolasepak Selangor, kemudian 12 pemain kita bermain di skuad Piala Presiden Kuala Lumpur dan dengan kejayaan terbaru di peringkat antarabangsa, tiba masanya untuk kita buka satu akademi untuk kongsikan bersama kaedah dan falsafah permainan yang Jeonsa amalkan.

“Matlamat kita adalah mudah, kita cuba memeriahkan pasaran pemain muda di peringkat nasional dalam negara kita .. yang berkualiti, berdisiplin dan bersedia pergi lebih jauh. Sasaran kita adalah melahirkan lebih ramai kumpulan pemain berbakat besar, bukan sahaja untuk masa depan pemain itu, tetapi masa depan bolasepak negara kita yang lebih cerah,” jelas Arifin.

JEONSA_LAUNCH

Dalam masa sama, Arifin turut menegaskan Jeonsa tiada niat mahu bersaing dengan akademi bolasepak lain yang kini ibarat cendawan tumbuh selepas hujan, ditambah pelaksanaan Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) yang bertujuan membangunkan bakat-bakat cilik.

“Fokus kita adalah pembangunan bakat. Kita tidak mahu bersaing dengan sesiapa, terutama dengan NFDP yang diwujudkan menerusi inisiatif kerajaan, malahan kita bercita-cita menjadi pelengkap kepada impian Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dan kita ucapkan terima kasih kepada semua terlibat menyokong usaha ini baik Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pelajaran Malaysia, ibu bapa dan media.”

Untuk permulaan, Akademi Bolasepak Jeonsa akan menyaksikan pembabitan tenaga pengajar seramai lima orang diketuai Pengarah Teknikal, Hamizar Hamzah, Kamal Daut (ketua jurulatih), Ahmad Nizan Ariffin (jurulatih kecergasan), Nor Hisham Abas (penolong jurulatih) dan Norharizan Abdullah (jurulatih penjaga gol).  

Menurut Kamal, “Jeonsa tidak seperti akademi lain yang mana ibu bapa datang hantar anak berlatih, selepas dua jam balik. Di sini, latihan kita selama satu hari membabitkan dua sesi latihan pagi dan petang, satu sesi kelas atau seminar, dan kita sediakan bilik penginapan untuk mereka berehat selepas setiap sesi. Ini berbaloi dengan apa yang mereka bayar.

“Kita mendidik pemain dengan sikap profesional, dan membuka ruang buat mereka menapak dalam bidang bolasepak. Setelah tamat latihan di akademi, mereka berpotensi diserap ke pasukan Jeonsa B-14, B-16, B-19, diberi peluang menyertai kejohanan seperti Liga FAS, Liga Bolasepak Rakyat, dibawa ke Kem Musim Panas atau jelajah luar negara seperti kita ke Beijing baru-baru ini untuk tujuan mencari pengalaman dan pendedahan.” Sementara itu, majlis anjuran KPBJLK pada Sabtu turut meraikan barisan wira cilik Jeonsa B-13 yang membawa nama negara di Piala SCL China dari 28 Julai – 3 Ogos lalu.

Malaysia muncul naib juara setelah tunduk 0-3 kepada Laos di perlawanan akhir, setelah terdahulu menundukkan Yanbian, Vietnam dan Shenzhen serta seri menentang Myanmar di peringkat kumpulan.

- Advertisement -