Aksi yang cemerlang terus dijanakan pemain pemain badminton negara di Kejohanan Dunia 2018 yang berlangsung di Nanjing, China.
Perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei terus membuktikan kemampuannya sekaligus tampak dahagakan prestasi yang optimum selepas mengesahkan selot ke pusingan ketiga hari ini.
Meskipun berdepan lawan yang mempunyai ranking lebih baik, Jin Wei tetap fokus untuk menundukkan lawannya dari Jepun Aya Ohori.
Jin Wei tidak diberi laluan mudah untuk melakar kemenangan ke atas pilihan ke 14 itu sebelum menang 21-18, 22-20.
Jin Wei bakal berdepan seorang lagi pemain Jepun, Nozomi Akuhara yang diletak selaku pilihan kelapan untuk mengesahkan selot ke suku akhir.
Dalam pada itu, perseorangan lelaki profesional negara, Liew Darren menepati ramalan untuk mara ke pusingan ketiga selepas menundukkan pemain Israel Misha Zilberman dengan kemenangan straight set 21-16, 21-16.
Saingan bergu wanita menyaksikan Chow Mei Kuan/Lee Meng Yean dipaksa bermain tiga set sebelum mengesahkan slot ke pusingan ketiga.
Pilihan ke 13 ini berada di gelanggang lebih sejam sebelum menang 16-21,21-17, 22-20.
Bergu lelaki muda negara, Aaron Chia/Soh Wooi Yik terus mempamer kejutan apabila menundukkan pilihan ke 12 dari Taiwan, Lee Jhe Hui/Lee Yang dalam pertarungan tiga set.
Meskipun tewas 16-21 diset pertama, Aaron dan Soh bangkit dengan aksi yang lebih kemas untuk menang 21-18, 21-19 sekaligus mara ke pusingan ketiga.
Bergu negara ini dijangka berdepan pilihan kelapan dari Denmark, Kim Astrup/Anders Skaarup Rasmussen.