Oleh Ku Mohd Lufti
Bekas juara remaja dunia, Goh Jin Wei muncul juara bagi acara perseorangan wanita Kejohanan Badminton GP Final Sirkit Kebangsaan 2016.
Beliau mengatasi Sonia Cheah Su Ya di pentas final dengan kemenangan straight set 21-17, 21-12 selepas bertarung selama 32 minit.
Dalam aksi perseorangan lelaki, Lim Chi Wing dipaksa bertarung tiga set sebelum menundukkan Chong Yee Han.
Chi Wing tumpas mudah 4-21 di set pertama sebelum bangkit dengan aksi yang lebih baik untuk melakar kemenangan 23-21 di set kedua.
Di set penentuan, Chi Wing ternyata konsisten untuk mengatasi Yee Han sekaligus menutup set ini dengan kemenangan 21- 13 selepas bertarung hampir sejam.
Bergu wanita, Chow Mei Kuan – Lee Meng Yean menepati ramalan apabila muncul juara selepas menundukkan Amelia Alicia Anscelly – Teoh Mei Xing straight set 21-19, 21-14.
Manakala final bergu lelaki diungguli gandingan Ooi Yew Sin – Teo Ee Yin yang bangkit daripada kekalahan untuk melakar kemenangan ke atas Goh Sze Fei – Nur Izzudin Mohd Rumsani 11-21, 21-17, 21-17.
Sementara itu, bergu campuran kedua negara, Tan Kian Meng – Lai Pei Jing turut menepati ramalan apabila mengatasi Hoo Pang Roon – Shevon Lai Jemie straight set 21-14, 21-10.
Dalam pada itu, pemain perseorangan lelaki yang beraksi di Masters Terbuka Korea. Liew Darren gagal menyaingi kehebatan pemain tuan rumah, Son Wan Ho apabila tewas 13-21, 16-21 dipentas final.