Oleh Ku Mohd Lufti
Bekas juara remaja dunia, Goh Jin Wei menepati ramalan meneruskan cabaran di Kejohanan Badminton Remaja Dunia selepas berjaya melepasi pusingan ketiga.
Jin wei tidak berdepan masalah untuk menjinakkan wakil Sweden, Ella Soderstrom dengan kemenangan straight set 21-8, 21-4.
Beliau yang diletak selaku pilihan pertama dijangka tidak berdepan masalah untuk menundukkan lawannya di pusingan keempat, Maria Delcheva dari Bulgaria.
Dalam pada itu aksi perseorangan lelaki menyaksikan tiga wakil negara mara ke pusingan keempat.
Lee Zhi Jia yang diletak selaku pilihan kedua bangkit daripada kekalahan untuk melakar kemenangan ke atas pemain dari India, Mithun Manjunath dengan keputusan 21-23, 21-18, 21-18.
Zhi Jia akan berdepan pemain dari Korea Selatan, Kim Moon Jun.
Leong Jun Hao turut mengikuti jejak Zhi Jia, mara ke pusingan seterusnya selepas membenam cabaran pemain Portugal, Miguel Rocha 21-15, 21-17.
Manakala Sim Fong Hau menjadi perseorangan ketiga negara mara ke pusingan keempat selepas menang ke atas wakil Hong Kong, Long Chow Hin 21-1, 21-11.
Enam wakil negara dalam acara beregu turut mengesahkan slot ke pusingan keempat.
Antara yang layak adalah bergu lelaki, Chen Tang Jie – Man Wei Chong menyingkirkan gandingan Itali, Fabio Caponio – Giovanni Toti straight set 21-6, 21-15.
Bergu negara yang diletak selaku pilihan ke 12 ini akan berdepan pasangan dari Korea Selatan, Lee Hong Sub – Lim Su Min di pusingan keempat.
Satu lagi wakil negara, Leong Jun Hao – Ooi Zi Heng yang diletak selaku pilihan keenam tidak berdepan masalah untuk mengatasi gandingan dari Sri Lanka, Shamika Hasaranga De Silva – Pasindu Palliyaguruge straight set 21-12, 21-8.