Oleh Muhammad Aiman
Setelah digugurkan daripada skuad negara yang akan beraksi di Kejohanan Berpasukan Campuran Asia di Vietnam 14-19 Februari depan gara-gara tidak berterus-terang mengenai status kecederaannya, pemain wanita nombor satu negara Goh Jin Wei tampak sudah ‘insaf’ dan berjanji tidak akan mengulangi kesilapan sama.
Pemain berusia 17 tahun itu beraksi di Kejohanan Malaysia Masters pertengahan bulan lalu di sebalik mengalami kecederaan buku lali, justeru membawa kepada kekalahan 12-21, 10-21 kepada pemain bukan pilihan dari Taiwan seawal pusingan kedua.
Sports247 sebelum ini melaporkan kegagalan Jin Wei bersikap jujur mengenai kecederaan itu menimbulkan rasa kurang senang Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost Hansen yang mengambil tindakan drastik mengugurkan pemain itu bagi beraksi di kejohanan berpasukan campuran dan menggantikannya dengan seorang lagi pemain muda, Lee Ying Ying.
“Ia bukan permulaan 2017 yang saya impikan, ia adalah silap saya sendiri kerana tidak jujur dan saya menerima hukumannya. Ia pengajaran yang berguna bagi saya, sudah tentunya apa yang berlaku ini akan menjadikan saya lebih matang dan saya tidak akan melakukannya lagi,” ujar Jin Wei yang baru meraikan hari lahir ke-17 dua hari lalu.
Bekas juara remaja dunia itu yang ketika ini sedang mengikuti program rehabilitasi selama empat minggu, turut menyatakan bahawa dia tidak terburu-buru untuk kembali beraksi meskipun ada dua kejohanan menanti selepas ini – Terbuka Kebangsaan (19-23 Februari) dan All England (Mac) sebaliknya mahu fokus terhadap proses pemulihannya itu.
“Saya sudah menjalani program pemulihan selama dua minggu, saya akan dapatkan nasihat fisioterapi (Sandra Fielder) dan jurulatih (Rony Augustinus) sebelum membuat keputusan mahu pertahankan atau tidak gelaran kebangsaan,” katanya yang merupakan pilihan pertama kejohanan.
Tambahnya, “Impian saya adalah beraksi di Kejohanan All England pertama saya, jurulatih juga sudahpun mendaftarkan nama saya. Saya akan berusaha keras untuk berada pada tahap fizikal dan mental terbaik sebelum beraksi di sana. Setiap apa yang telah berlaku, saya lihat ianya dari sudut positif.”