Oleh Muhammad Aiman
Pakar kuak dada wanita, Phee Jinq En hampir pasti menjadi perenang kedua negara untuk menempah tiket beraksi di Sukan Olimpik bulan depan.
Perkhabaran gembira ini hadir apabila badan induk sukan itu, FINA, secara tidak rasminya memaklumkan kepada Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) bahawa perenang muda itu layak ke Rio De Janeiro menerusi tiket kategori B.
Setiausaha ASUM, Mae Chen berkata, “FINA telah memaklumkan bahawa kita (Malaysia) mempunyai seorang perenang yang layak menerusi masa terpantas bagi kategori B. Kita menanti pengumuman rasmi daripada mereka, dan kita juga sedang menanti sama ada Welson (Sim) beroleh slot tambahan bagi acara 1500m gaya bebas.”
Untuk rekod, perenang sensasi dari Sarawak, Welson sudahpun terlebih dahulu mengesahkan tempatnya di Rio bagi dua acara, 200m dan 400m gaya bebas manakala Heidi Gan pula layak bagi acara renang jarak jauh.
Renang di Sukan Olimpik bakal membabitkan 900 atlet, dengan setiap negara boleh menghantar dua atlet bagi setiap acara dan seandainya tempat bagi Jinq En disahkan, dia bersama-sama Welson kedua-duanya akan membuat penampilan sulung di temasya sukan terbesar dunia itu.
Ia sudah tentunya detik kemuncak buat atlet berusia 18 tahun itu yang menyerlah mencipta nama sejak menang pingat emas 100m kuak dada dalam penampilan sulungnya di pentas Sukan Sea ketika ia berlangsung di Singapura tahun lalu.
Perenang kelahiran Selangor itu kemudiannya memadam rekod kebangsaan 1:09.82s berusia enam tahun milik Siow Yi Ting dengan melakukan 1:09.64s di Kejohanan Dunia di Dubai pada November lalu dan sekali lagi memperbaharui catatan itu dengan melakukan 1:08.99s di Kejohanan Renang Peringkat Umur Singapura pada Mac.
Jinq En tidak berhenti di situ, dia memadam rekod tersebut buat kali ketiga dalam tempoh enam bulan, apabila melakar 1:08.65s di Terbuka Malaysia pada Mei lalu dan meskipun catatan itu gagal melepasi had kelayakan kategori A, ia sudah memadai untuk memberikannya tiket ke Rio.
Empat tahun lalu, Malaysia hanya diwakili seorang perenang di Olimpik iaitu Khoo Cai Lin.
Setakat 5 Julai, 27 atlet sudah mengesahkan tempat ke Rio secara rasmi, membabitkan sembilan acara sukan dan mereka dijangka akan disertai oleh beberapa lagi atlet dari sukan golf dan Jinq En sendiri, apabila pengumuman rasmi dibuat.