Oleh Muhammad Aiman
Hajat pemain skuash kebangsaan, Delia Arnold untuk melangkah ke separuh akhir Kejohanan Jemputan Wanita SRAM 2016 tidak kesampaian, setelah tunduk kepada pemain New Zealand, Joelle King di Pusat Skuash Nasional, Bukit Jalil pada Jumaat.
Pemain di ranking ke-18 dunia itu berdepan misi wajib menang setelah tewas perlawanan pembukaan kepada Omneya Abdel Kawy, namun mendapati Joelle terlalu kuat untuk disaingi, dan tewas 12-14, 8-11, 9-11 dalam masa 40 minit.
Kemenangan kedua buat Joelle menyaksikan pemain nombor sembilan dunia itu muncul juara Kumpulan B dan akan bertemu Joshna Chinnapa dari India di peringkat separuh akhir manakala Omneya yang muncul naib juara berdepan ratu skuash negara, Dato’ Nicol David.
Kedua-dua aksi separuh akhir akan berlangsung pada Sabtu, bermula jam 5 petang.
Sementara itu, dalam aksi terdahulu, Joshna, pemain di ranking kesepuluh dunia menewaskan pemain England, Jenny Duncalf 11-7, 11-8, 11-3 untuk mengiringi Nicol ke kelompok empat terakhir dari Kumpulan A.
Untuk makluman, kejohanan yang dianjurkan buat pertama kali ini membabitkan hanya enam pemain dari kelompok 20 terbaik dunia dan tidak menawarkan sebarang hadiah kepada pemenang, dengan penganjur hanya membayar yuran penampilan kepada setiap pemain.