Selain Jackie Wong Siew Cheer dan Grace Wong Xiu Mei, negeri Sarawak sekali lagi berjaya melahirkan atlet serba boleh dalam acara baling tukul besi di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.
Johnny Ling Siew Hong, berkata beliau berasa amat gembira dengan kejayaan hari ini kerana dapat mencapai sasaran yang diletakkan iaitu pingat emas bagi Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia kali ke-49.
“Saya berasa gembira dengan kemenangan ini namun sedikit tidak berpuas hati kerana saya percaya saya boleh melakukan dengan lebih baik dari ini.
“Sebelum ini, saya pernah mencatatkan rekod 52.93 meter berbanding hari ini catatan saya hanya 50.13 meter sahaja. Untuk itu, saya perlu berusaha lebih kuat lagi untuk konsisten dan buat yang terbaik,” katanya.
Atlet kelahiran Sarawak itu turut berharap dengan keputusan Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia ini, beliau diberi peluang untuk terpilih menyertai Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 bersama-sama rakan sepasukannya, Jackie Wong Siew Cheer dan Grace Wong Xiu Mei Ogos nanti.
Dalam acara yang sama bagi kategori wanita pula menyaksikan kedua-dua atlet dari negeri Selangor, Nurfazira Jalailudin dan Nurul Hidayah Lukman mendominasi pingat emas dan perak dalam acara tersebut dengan catatan 51.39 meter dan 43.46 meter diikuti pemegang gangsa, atlet dari negeri Perlis, Fatin Nabilah Ibrahim dengan catatan 41.51 meter.
Dalam perkembangan yang sama, atlet dari negara Filipina dengan jayanya menggodol ketiga-tiga pingat emas, perak, dan gangsa bagi acara lompat jauh kategori lelaki dengan catatan dari Tyler Ruiz bagi kedudukan pingat emas, 7.34 meter diikuti kedudukan pingat perak, Janry Ubas dengan catatan 7.33 meter dan Aries Toledo pemegang pingat gangsa dengan catatan 7.29 meter.
Bagi kategori wanita, pingat emas turut dirangkul atlet dari kotinjen Filipina, Katherine Khay dengan catatan 5.83 meter.
Katherine turut melahirkan keyakinan yang amat positif bahawa beliau akan meraih pingat emas dalam acara tersebut di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) Ogos depan.
“Sudah tentu saya gembira dengan pencapaian ini kerana ia adalah sasaran saya sejak awal lagi bagi acara lompat jauh ini dan saya berbangga dengan rakan sepasukan yang turut memenangi acara yang sama,” katanya ketika ditemui selepas upaca penyampaian pingat sebentar tadi (18 Julai).
Sementara atlet dari Perak, Kirthana Ramasamy sekadar berpuas hati dengan kedudukan pingat perak dengan catatan 5.79 meter beza hanya 0.01 meter dengan Nurul Fatimatul Zahrah Awang dari negeri Terengganu yang meraih pingat gangsa. – OLEH HUSNIYAH GHAZALI