JOHOR membuktikan mereka adalah kuasa baru sukan berbasikal negara apabila menguasai tiga daripada empat pingat emas yang dipertandingkan pada hari pertama acara berbasikal trek Sukan Malaysia ke-20 (Sukma XX) di Velodrom Nasional di sini, hari ini.
Memulakan hari cemerlang Johor, yang sebelum ini menguasai 5 emas dari acara lebuh raya, adalah kuartet 4000 meter kejar-mengejar berpasukannya yang memastikan emas pada perlumbaan akhir ketika menentang kuartet Terengganu.
Gandingan Chan Jian Le, Mohamad Faiz Mohd Hatta, Muhammad Nur Aiman Rosli dan Zulhelmi Zainal merakam masa 4 minit 11.121 saat, mengatasi kuartet Terengganu yang sekadar mencatat 4:15.232s.
Pingat gangsa dimenangi kuartet Perak (4:15.260s) yang menewaskan Sarawak (4:16.887s).
Kejayaan kuartet lelaki Johor itu disambung kuartet wanitanya menerusi gandingan Khairunnisa Aleeya Saifulnizam, Noormastura Norman, Nur Syafika Natasha Kadir dan Siti Nur Adibah Akma Mohd Fuad yang mencatat 4:47.317s, mengatasi kuartet Terengganu yang mencatat 4:49.177s dalam perlumbaan akhir. Gangsa dimenangi Kedah yang menewaskan Selangor.
Namun, Muhammad Ridwan Sahrom yang pada awalnya dijangka mudah menguasai acara pecut 200 meter selepas mencatat masa terpantas 10.001s pada sesi kelayakan, terpaksa diajak ke perlumbaan penentuan oleh pencabarnya dari Kedah, Mohamad Fariz Haikal Mohamad Kadir.
Begitupun, pelumba negara yang beraksi di pentas Asia dan Sukan Komanwel itu membuktikan pengalamannya untuk menang 2-1.
Rakan senegeri Mohamad Akmal Nazimi Jusena memastikan gangsa selepas menewaskan pelumba Perak, Ahmad Safwan Ahmad Nazeri, 2-0.
Kedah bagaimanapun mencuri sebutir emas apabila pelumba kebangsaan bertaraf juara Asia, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri, 19, yang mencatat masa terpantas 11.345s pada pusingan kelayakan, mudah menewaskan pencabarnya dari Pulau Pinang, Nurul Aliana Syafika Azizan 2-0 dalam perlumbaan akhir.
Pingat gangsa dimenangi Yong Ann Yi dari Selangor yang menewaskan adiknya Yong Ann Tung 2-0.