Hajat Johor Tigris menyekat momentum kemenangan Penang Black Panthers tidak kesampaian setelah pasukan dari selatan tanah air itu tunduk 0-2 dalam aksi pertama minggu kelima Sepaktakraw League (STL) Premier yang berlangsung Jumaat.
Black Panthers yang menurunkan Syahir Rosdi sebagai tekong dan diapit oleh Zaim Razali serta Kamal ishak nyata terlalu unggul untuk disaingi oleh regu Johor Tigris gandingan Nazmi Nasar-Lutfil Hadi Azmi-Noraizat Nordin.
Setelah kecundang mudah 5-21 di set pertama, Johor Tigris memperkemas permainan dan tampil memberi tentangan di set kedua namun ia tidak memadai untuk mereka menjelmakan kebangkitan seterusnya akur dengan kekalahan 15-21.
Ia adalah kekalahan ketujuh dari sembilan perlawanan buat Johor Tigris sekaligus menyaksikan mereka kekal terperosok di tangga tercorot manakala kemenangan kelapan buat Black Panthers membantu pasukan itu untuk terus merajai takhta liga dan semakin jauh meninggalkan pesaing lain.
Jurulatih Black Panthers, Helmi Ismail berkata permulaan yang baik adalah kunci utama pasukannya dapat menjinakkan Johor Tigris namun berpendapat belum masanya untuk pemainnya berasa selesa dan menuntut mereka untuk kekal fokus menghadapi baki perlawanan yang dijangka lebih mencabar.
“Kita kutip mata dan mendahului lawan dari awal, berbanding kebiasaan kita kena kejar balik mata selepas ketinggalan jauh, jadi ini yang memberikan keyakinan kepada pemain. Saya tidak anggap ini kemenangan mudah, cuma kita ambil kesempatan di atas permulaan baik itu.
“Kita perlu kekalkan rentak seperti ini, di atas kertas nampak tiada masalah tetapi kita bermain baik hari ini, esok belum tentu dapat ulanginya jadi kita kena hadapi setiap lawan bersandarkan prestasi semasa pemain dan keserasian antara regu juga sangatlah penting. Jadi kita boleh terlalu yakin dan pandang rendah lawan yang lain,” kata Helmi.
Aksi seterusnya buat Black Panthers adalah menentang Kelantan Warriors pada Sabtu.
Dalam satu lagi aksi, Kelantan Warriors yang menurunkan trio sensasi mereka Hisyam Mat-Aiman Azwawi-Naim Izani Noor tampil dengan aksi agresif meyakinkan untuk melakar kemenangan kelima dengan menewaskan Perak Bison 2-0 (21-15, 21-16).
Kemenangan membolehkan pasukan bimbingan Baharil Anuar Che Mat itu mengukuhkan cengkaman mereka di kedudukan tiga teratas yang menawarkan slot beraksi di STL Champions League.
Sementara itu, dalam aksi Divisyen Satu, Pahang Mammoth terus unggul apabila menang kedua-dua perlawanan mereka pada Jumaat dengan menewaskan Kedah Eagles 2-0 (21-13, 21-13) dan PSM Mavericks 2-0 (21-12, 21-12) tatkala Putrajaya Cyborg pula meleburkan rekod tanpa kalah Sabah Mountaineers menerusi kemenangan 2-1 (12-21, 21-15, 21-18).
Sarawak Hunters mengalami kekalahan keempat berturut-turut setelah kecundang kepada PDRM Defenders 0-2 (6-21, 12-21) manakala Negeri Sembilan Antlers mencatat kemenangan kedua dengan menewaskan PSM Knights 2-1 (12-21, 21-14, 21-15).
Satu lagi aksi menyaksikan Melaka Titans menewaskan Labuan Drillers 2-0 (21-10, 21-16). OLEH MUHD AIMAN