Pemain perseorangan profesional, Soong Joo Ven mengesahkan status sebagai juara perseorangan lelaki Top Glove Purple League Pro Am 2020 selepas menewaskan Iskandar Zulkarnain di pentas final.
Hari terakhir Top Glove Purple League Pro Am 2020 yang berlangsung di Kompleks Kejiranan Presint 11, Putrajaya dimulakan dengan saingan perseorangan lelaki diantara pilihan pertama, Soong Joo Ven menentang pilihan kedua, Iskandar Zulkarnain.
Aksi sengit dipamerkan kedua dua pemain di awal permainan yang berusaha mencari ruang untuk memerangkap lawan.
Namun prestasi semasa tampak memihak , Soong Joo Ven yang menang di set pertama namun Iskandar Zulkarnain bangkit mendominasi dua set berikutnya.
Selepas bertarung selama satu jam Soong Joo Ven dinobat selaku juara selepas menang 3-2 (11-10, 10-11, 9-11, 11-5, 11-10)
Selaku juara Soong Joo Ven membawa pulang wang tunai RM 10 000.
Aksi bergu campuran dan bergu lelaki menarik untuk diperkatakan selepas berlaku kejutan ke atas gandingan pilihan.
Bergu campuran menyaksikan Boon Xin Yuan – Teoh Lexuan menentang pilihan ke 3/4 kejohanan Tan Kok Xian – Wong Kha Yan.
Boon Xin Yuan – Teoh Lexuan cemas seketika dan seakan akan hilang tumpuan apabila tewas di dua set pertama.
Namun Xin Yuan dan Lexuan kembali fokus dan memanfaatkan setiap kesiapan lawan untuk bangkit di tiga set berikutnya sekaligus menang ke atas Tan Kok Xian – Wong Kha Yan 3-2 (9-11, 7-11, 11-7, 11-9, 11-6).
“Kami tewas diawal kerana gagal membaca cara permainan lawan yang kuat dan aggresif. Tetapi segalanya berubah di set ketiga dimana kami mengubah corak permainan dan berjaya meraih kemenangan,” kata Xin Yuan.
Bagi Lexuan, ini adalah permulaan yang baik untuknya kerana baharu sahaja digandingkan dengan Xin Yuan selepas bergelar pemain profesional.
“Selepas kejayaan ini kemungkinan kami akan dikekalkan sebagai pasangan tetapi segalanya bergantung kepada perancangan kelab,” kata Lexuan.
Melengkapkan saingan final Top Glove Purple League Pro Am 2020 adalah aksi bergu lelaki diantara pilihan ke 3/4, Iskandar Zulkarnain – Nur Muhd Azriyn Ayup menentang pilihan kedua kejohanan, Shia Chun Kang – Wong Tien Ci
Ibarat misi membalas dendam, selepas tewas dalam aksi perseorangan lelaki, Iskandar Zulkarnain nyata tidak mahu pulang dengan tangan kosong.
Meskipun telah memerah kudrat di dalam aksi perseorangan, Iskandar dan Azriyn tetap cemerlang untuk mengejutkan Chun Kang-Tien Ci dengan kemenangan 3-1 (10-11, 11-8, 11-10, 11-4).
Juara bagi acara bergu membawa pulang wang tunai RM 15 000.
Iskandar Zulkarnain pula menjadi pemain yang meraih hadiah kemenangan tertinggi, membawa pulang wang tunai RM 12 500.
Ketua Pegawai Operasi Purple League, Ho Khek Mong berterima kasih kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Persatuan Badminton Putrajaya (PBA) dan penaja utama kejohanan, Top Glove yang tela menjayakan saingan Top Glove Purple League Pro Am 2020.
Objektif penganjuran kejohanan tercapai dan beliau berharap pemain pemain akan terus berusaha untuk mencapai kejayaan yang lebih gemilang.
“Kejohanan yang berlangsung selama enam hari telah pun selesai. Sejujurnya saya teruja dan tifak menjangkakan persaingan sengit dan semangat yang telah ditunjukkan oleh para pemain.
“Kita dapat saksikan pemain pemain yang mempunyai bakat terpendam dan menanti peluang terbaik untuk membuktikan kemampuan mereka.
“Saya berharap kejohanan ini menjadi platform untuk pemain pemain mempertingkatkan lagi mutu permainan dan berusaha mencapai kejayaan yang lebih gemilang,” kata Khek Mong.
Tambahnya, meskipun keadaan semasa yang masih tidak menentu, pihaknya akan terus berusaha untuk menganjurkan kejohanan yang lain terutama Sengheng RedONE Purple League.
KEPUTUSAN PERLAWANAN
Perseorangan Lelaki
Soong Joo Ven [1] – Iskandar Zulkarnain [2] (11-10, 10-11, 9-11, 11-5, 11-10)
Bergu Campuran
Boon Xin Yuan – Teoh Lexuan vs – Tan Kok Xian – Wong Kha Yan [3/4] (9-11, 7-11, 11-7, 11-9, 11-6)
Bergu Lelaki
Iskandar Zulkarnain – Nur Muhd Azriyn Ayup [3/4] vs Shia Chun Kang – Wong Tien Ci [2] (10-11, 11-8, 11-10, 11-4)
Pecahan Hadiah Wang Tunai
Bergu Lelaki & Bergu Campuran
Juara- RM15,000
Naib Juara – RM8,000
Tempat ke 3 – RM4,000
Tempat Ke 4 – RM2,000
Tempat 5 – 8 – RM1,000
Tempat 9 – 16 – RM500
Perseorangan Lelaki:
Juara – RM10,000
Naib Juara – RM5,000
Tempat ke 3 – RM2,500
Tempat Ke 4 – RM1,500
Tempat 5 – 8 – RM1,000
Tempat 9 – 16 – RM500