Kem latihan skuad bawah 23 tahun negara tidak mahu diakhiri dengan sia sia uat kali kedua oleh anak kepada bekas pemain bolasepak Sabah, Scott Ollerenshaw untuk memastikan namanya disenarai oleh Datuk Ong Kim Swee bagi menghadapi dua kejohanan pada Mac.
Jordan Ollerenshaw antara 26 pemain yang dipanggil Kim Swee untuk menjalani latihan pusat sebelum mengharungi saingan Piala AFF Bawah 23 tahun serta Kelayakan Kejuaraan AFC 2020.
“Saya terlepas peluang untuk mewakili Malaysia ketika Piala Newspaper di Vietnam kerana kecederaan. Kini saya dipanggil semula dan pastinya tidak mahu melepaskan peluang ini,”kata Jordan.
Pemain berusia 20 tahun ini mengharapkan tiada kecederaan serius membelenggunya sepanjang sesi latihan pusat serta aksi persahabatan yang telah diatur.
Beliau sebelum ini menjalani latihan di Australia termasuk mewakili pasukan St George FA memenangi kejuaraan piala tempatan sebelum dipanggil Datuk Ong Kim Swee untuk menjalani latihan pusat skuad bawah 23 tahun negara.
Jordan mengakui, corak permainan di Australia sedikit berbeza berbanding di Malaysia, namun optimis mampu mengharunginya.
“Saya berada di Australia selama enam bulan dan mencuba untuk menimba pengalaman baru di sana. Corak permainan di Malaysia adalah lebih bersifat teknikal dan lebih pantas berbanding di Australia dimana fizikal menjadi faktor utama,”kata Jordan lagi.