Faktor kesuntukan masa untuk mencari jurulatih baru menyaksikan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) memberi kepercayaan kepada Pengarah Teknikal Jorg Steinebrunner untuk bertindak sebagai jurulatih sementara bagi mengendalikan sesi latihan pasukan.
Presiden KAFA Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, “Kita sebenarnya sudah ada calon jurulatih baru tetapi terpaksa melupakan kerana jurulatih itu masih terikat dengan pasukan lain. Jadi dengan saingan musim baru semakin hampir membuka tirai dan masa semakin suntuk, kita memberikan tanggungjawab mempersiapkan pasukan kepada Jorg.
“Kita mengambil langkah ini kerana tidak mahu persiapan terganggu sekiranya lebih masa diambil untuk membawa masuk jurulatih baru, kita percaya dengan kredibiliti Jorg dalam masa sama mengharapkan isu ini selesai secepat mungkin.”
Sebagai rekod, jawatan ketua jurulatih Kelantan masih belum berpemilik setelah Yusri Che Lah membuat keputusan untuk menolak tawaran kontrak baru dan berpindah ke Kuala Lumpur walaupun telah menyatakan persetujuan secara lisan untuk kekal pada awalnya.
Walaupun tidak diketahui punca sebenar Yusri berubah hati, rata-rata penyokong The Red Warriors beranggapan selain tawaran gaji yang lebih lumayan, ianya mungkin disebabkan Kelantan secara tiba-tiba membawa masuk Jorg Steinebrunner yang juga merupakan bekas jurulatih Negeri Sembilan untuk mengisi posisi Pengarah Teknikal.
Melihat kepada sejarah KAFA dalam dua musim terdahulu, dua individu yang dibawa atas kapasiti Pengarah Teknikal (Alfredo Gonzales dan Fajr Ibrahim) kemudiannya dilantik sebagai jurulatih pasukan dan ini mungkin tidak begitu menyenangkan Yusri.
Dalam pada itu, mengulas lanjut mengenai persiapan pasukan, Bibi Ramjani memberitahu bahawa semuanya dalam landasan tepat dan beberapa aksi persahabatan juga telah diatur untuk menguji pasukan yang rata-ratanya akan dibarisi oleh anak muda tempatan.
Mereka juga telah mengadakan sesi pemilihan pemain secara terbuka yang menyaksikan ianya turut disertai oleh beberapa nama besar seperti Syed Adney Syed Hussin, Fauzi Roslan, Asrol Ibrahim, G.Puaneswaran dan R.Surendran, namun R.Surendran kemudiannya telah menyertai PKNS FC.
Bibi Ramjani juga memaklumkan persatuan itu memerlukan kira-kira RM5 juta untuk bersaing dalam Liga Premier musim depan dan ketika ini masih mencari tajaan lebih kurang RM3 juta lagi. MUHD AIMAN