Oleh Muhammad Aiman
Atlet lawan pedang negara, Joshua Koh enggan tunduk kepada tekanan tatkala dia menjadi sandaran utama untuk menghadiahkan pingat emas buat negara di temasya Sukan Sea Kuala Lumpur 2017, Ogos depan.
Joshua yang merupakan pemenang emas acara Epee di Sukan Sea Indonesia 2011 menyatakan bahawa beraksi di tempat sendiri sememangnya satu kelebihan, namun dalam masa sama ia berupaya memberikan tekanan tambahan sekaligus menuntutnya untuk memberi lebih fokus bagi menterjemahkan prestasi terbaik.
âSaya perlu untuk mengawal tekanan dan jangan biarkan ia menghantui serta menganggu prestasi saya. Sudah tentu ada rasa gementar tapi saya akan berusaha untuk mengatasinya dan mengalihkan perkara negatif kepada positif. Bagi menjadikannya lebih baik,â kata Joshua.
Dengan tinggal lebih kurang 94 hari sahaja lagi sebelum berlangsungnya temasya dwitahunan itu, Joshua berkata selain tekanan, dia juga perlu mengawal emosi dan psikologi selain memperkasa motivasi dan keyakinannya agar dapat mempersiapkan diri sebaiknya
Dia yang akan membuat penampilan keempat di Sukan Sea ketika ini dalam persediaan untuk menjalani latihan intensif di Seoul, Korea Selatan bermula minggu depan sehinggalah awal Ogos.
Selain itu, Joshua juga akan menyertai Kejohanan Piala Asia di Hong Kong pada pertengahan Julai, yang mana akan menjadi medan pemanas badan terakhirnya sebelum KL 2017.
âSaya jangkakan atlet-atlet dari Vietnam, Singapura dan Thailand boleh menjadi pesaing utama pada Sukan Sea nanti. Ini kerana latihan pusat mereka adalah di luar negara dan corak latihan juga tidak sama dengan kita.
âJadi dengan latihan lebih dua bulan di Korea, saya harap banyak yang boleh dipertingkat dan dipelajari. Saya tekad mahu buat yang terbaik di hadapan penyokong sendiri dan hadiahkan emas buat negara,â ujar Joshua.