Kebangkitan dramatik di penghujung perlawanan membawa Kelab Badminton Puchong United mara ke perlawanan akhir Cabaran Juara-Juara Resorts World Genting 2015 dengan menyingkirkan juara bertahan Kelab Badminton Kepong.
Pada aksi separuh akhir kedua yang berlangsung di Arena of Stars, pemain perseorangan lelaki Syed Akhbar Shah Syed Mustakim meranapkan impian besar Kepong untuk mempertahankan kejuaraan apabila bangkit dari kekalahan set pertama untuk menang 3-1 ke atas Panji Akbar Sudarjat dan menghadiahkan kemenangan 11-10 buat Puchong United.
“Jantung saya bedegup kencang, seolah nak tercabut menuju ke perlawanan terakhir setelah beregu lelaki kalah 3-0. Tetapi kita tidak berhenti berharap, Syed (Akhbar), dia cukup gementar, kerana dia tahu dia akan menentukan kami mara atau tersingkir. Saya pesan kepada dia supaya tidak pedulikan sebarang benda lain dan fokus pada perlawanan.
“Dan hari ini, kita tengok bagaimana semua pemain memberi sokongan, berdiri di belakang satu sama lain. Kita buatkan mereka percaya mereka boleh menangi perlawanan dengan semangat dan kerjasama sepasukan yang cukup menakjubkan, itulah kelebihan Puchong United,” ujar pengurus pasukan Puchong United, Irina Inozemtseva.
Kepong terlebih dahulu memulakan aksi separuh akhir dengan nota ceria, apabila Wei Nan menewaskan Daren Liew 3-2 (11-9, 8-11, 9-11, 11-10, 11-9) dalam masa 55 minit.
Puchong United bagaimanapun bangkit mengikat kedudukan 5-5 setelah Ayumi Mine memanfaatkan deretan kesilapan berulang yang dilakukan Deng Xuan dan kemudiannya mendahului perlawanan menerusi kemenangan 3-1 yang dirakam pasangan beregu campuran Chen Weng Hsing/Yew Hong Kheng.
Kegembiraan Puchong United tersentak apabila Andrei Adistia/Tai An Khang mencatat kemenangan mudah 3-0 (11-5, 11-6, 11-6) ke atas Ow Yao Han/Wong Fai Yin dan kembali mendahului perlawanan 9-8 sekaligus mengheret perlawanan ke penentuan cukup mendebarkan.
Panji Akbar meletakkan Kepong sebelah kaki ke perlawanan akhir, hanya untuk Syed Akhbar bangkit dengan cukup bergaya untuk menghadiahkan Puchong United pertemuan menentang Muar City dalam aksi final.
“Ini bukan kali pertama kita jumpa Muar City, kita pernah tewaskan mereka, kita satu-satunya pasukan yang tewaskan mereka setakat ini dan kita sudah bersedia lakukannya sekali lagi. Mungkin di atas kertas, kami dilihat sebagai bukan pilihan dan tiada peluang besar untuk menang tetapi anda sudah melihat semangat yang kami tunjukkan.
“Apapun kami tahu esok Muar City ada misi mereka untuk balas dendam ke atas kita. Pertemuan esok sepenuhnya satu pertemuan yang berbeza. Kedua-dua pasukan mahu menang. Kita akan berbincang dan tentukan barisan pemain setelah membuat sedikit analisa permainan Muar City,” tambah Irina lagi.
Dalam satu lagi aksi separuh akhir yang berlangsung di sebelah petang, Muar City mara ke aksi final setelah menjinakkan Ampang Jaya 9-0 menerusi kemenangan yang dicatat Lee Hyun Il, Rusydina Antardayu dan Lee Hyo Jung/Han Sang Hun.
Juara Cabaran Juara-Juara Resorts World Genting 2015 akan membawa pulang hadiah wang tunai RM148,000.