Oleh Muhammad Aiman
Johor Darul Takzim tidak akan menjadikan jadual perlawanan padat sebagai alasan untuk mengambil mudah cabaran Uitm FC tatkala mereka bersedia melayan kunjungan pasukan 100PLUS Liga Premier itu dalam aksi pusingan ketiga Piala FA di Larkin, pada Sabtu.
Jurulatih, Benjamin Mora menyatakan pasukan Harimau Selatan itu mempunyai barisan pemain yang cukup untuk digilirkan malah pemain-pemain utama mereka turut komited untuk memberikan yang terbaik meskipun akan beraksi perlawanan kesembilan dalam tempoh satu bulan.
“Komitmen terhadap Piala AFC menyaksikan kami kini bermain selang tiga hari, lebih banyak berbanding pasukan lain. Menentang Uitm, saya tidak akan guna alasan pemain penat untuk turunkan pasukan kedua dan tetap akan turunkan barisan terkuat,” katanya.
Walaupun di atas kertas, JDT dilihat sebagai pilihan mutlak dan tidak bermasalah mengesahkan tempat di suku akhir, Mora mengingatkan pemainnya betapa skuad kendalian Wan Mustafa itu turut berada dalam motivasi baik setelah tidak tewas empat perlawanan terakhir.
“Saya tahu mereka sedang mengharungi prestasi baik, mereka menang dengan Sabah dan MIFA di gelanggang lawan. Mereka jaringkan tujuh gol ketika menewaskan MIFA dan kemudian mengikat pendahulu liga, Negeri Sembilan. Jadi saya pasti mereka akan cuba untuk melakar kejutan di sini.
“Walaupun mereka pasukan Liga Premier, ia satu lagi perlawanan yang mencabar dan cabaran mereka tidak boleh dipandang mudah. Semangat dan motivasi pemain tetap tinggi walaupun kita gagal meraih mata penuh ketika menentang Magwe (Piala AFC) dengan melepaskan gol minit akhir.
“Kita ada skuad yang besar dan berkualiti, jadi saya akan beri peluang sama rata kepada pemain, mereka akan cuba bangkit semula ke landasan kemenangan,” kata Mora.
Selasa lalu, JDT yang beraksi dengan 10 pemain untuk tempoh 80 minit perlawanan terlepas peluang mencatat kemenangan kelima berturut-turut dalam semua pertandingan setelah diikat 1-1 oleh Magwe FC dari Myanmar.
Manakala Uitm FC turut beraksi pada pertengahan minggu apabila turun dalam perlawanan menentang Negeri Sembilan (yang disambung semula setelah terpaksa dihentikan berikutan cuaca buruk pada 26 Februari) dan berjaya muncul pasukan pertama menoktahkan rekod kemenangan tujuh perlawanan skuad hoben jang hoben.
Selain aksi JDT dan Uitm, perlawanan pusingan ketiga lain yang berlangsung pada Sabtu adalah T-Team menentang Terengganu, Perak bertemu Kedah, Perlis bertemu Sarawak, Sabah bertemu MOF, Negeri Sembilan bertemu Pulau Pinang serta Pahang melayan kunjungan Melaka.