DUA jaringan penyerang kebangsaan Muhammad Razie Rahim pada suku pertama dan kedua membantu juara bertahan UniKL meraih mata penuh dengan mengatasi pencabar utama Terengganu Hockey Team (THT) 4-2 pada perlawanan kedua TNB Liga Hoki Malaysia 2021 di Stadium Nasional Hoki Malaysia di Stadium Bukit Jalil.
Selepas kejayaan menjulang Piala Sumbangsih Jumaat lepas, UniKL, yang diikat 0-0 dan sekadar berkongsi satu mata dengan TNB, dilihat berjaya mengatasi kelemahan ketara sebelum ini dengan corak permainan dan strategi yang lebih tersusun.
Jaringan awal Muhammad Razie pada minit ke-13 membuka laluan buat UniKL untuk menambah jaringan pada tiga suku pertama selain berjaya menyekat pergerakan dan percubaan THT.
Pavandip Singh menuruti jejak Muhammad Razie menerusi satu deflection dalam kawasan hasil pukulan sudut penalti pada minit ke-27, sekaligus menambah keyakinan UniKL untuk terus mengawal tempo perlawanan.
THT, yang meraih mata penuh pada perlawanan pertama dengan membelasah Sabah 11-0, nyata gagal menyaingi kepantasan dan permainan taktikal UniKL. Pergerakan penyerang utama THT Faizal Saari yang sudah mengumpul empat gol peribadi, jelas dikunci oleh pertahahan UniKL yang bermain baik mematahkan segala percubaan THT.
Suku ketiga menyaksikan UniKL terus memberi tekanan manakala THT seperti hilang punca hingga membolehkan Muhammad Razie menambah jaringan peribadi pada minit ke-35 sebelum Muhammad Sukri Abdul Mutalib menjadikan kedudukan 4-0 buat UniKL pada minit ke-42.
Begitupun, ketika perlawanan menuju penamat pada suku keempat, THT bangkit dan berjaya merapatkan jurang menerusi dua gol penyerang kebangsaan Akhimullah Anuar Esook pada minit ke-51 dan Muhammad Arief Ishak pada minit ke-53.
Namun UniKL berjaya menyerap tekanan THT hingga wisel penamat untuk meraih kemenangan mengumpul empat mata dari dua perlawanan setakat ini.
Jurulatih UniKL Megat Azrafiq Megat Termizi berpuas hati dengan komitmen pemain biarpun agak tertekan dengan pertahanan longgar anak buahnya pada suku keempat yang menyaksikan THT berjaya membolosi gawang UniKL dua kali.
“Kami berjaya memperbaiki segala kelemahan ketika menentang TNB Jumaat lepas, corak permainan kemas yang membolehkan kami menjaringkan gol padang dan penalti sudut. Namun pada suku teraklhir pemain hilang konsentrasi dan bolos dua gol. Apa yang perlu dilakukan sekarang ialah meneruskan momentum kemenangan ini dan memastikan mendapat mata penuh bertemu Sabah Selasa ini,” kata beliau.
UiTM 0 – 1 MAYBANK
Dalam satu lagi perlawanan, Maybank mengungguli kedudukan Liga selepas meraih kemenangan kedua mengatasi UiTM 1-0.
Maybank kini mengumpul enam mata maksimum dan dengan format perlawanan satu pusingan (tujuh perlawanan bagi setiap pasukan) yang lebih mencabar musim ini, kemenangan ketiga ke atas Nurinsafi Selasa ini pasti membuka laluan lebih cerah untuk kekal berada di atas Liga.
Jaringan tunggal Muhammad Najmi Farizal Jazlan pada minit ke-45 sudah cukup memastikan Maybank, yang sebelum ini meraih kemenangan besar 5-0 ke atas TNB Thunderbolts, pulang dengan mata penuh.
Jurulatih Azrul Effendi Bistamam berkata UiTM memberikan saingan sengit yang menyukarkan barisan hadapan Maybank untuk menembusi benteng pertahanan lawan.
“Kami menguasai hampir 90 peratus perlawanan tetapi gagal melakukan penyudahan. Mungkin jaringan ini satu jaringan nasib tetapi apa pun, ia tetap mata penuh dan saya tetap berpuas hati dengan keputusan ini. Perlawanan ketiga menentang Nurisafi Selasa ini amat penting untuk mengukuhkan kedudukan,” kata beliau.
Penjaring tunggal Muhammad Najmi berkata pemain mempamerkan komitmen tinggi dan akan terus memperbaiki segala kelemahan menerusi sesi video selepas setiap pelawanan.
Nurinsafi HT 0 – 6 TNB
Dua jaringan Muhammad Shahril Saabah pada suku pertama dan ketiga memberikan kejayaan mutlak kepada TNB untuk mencipta kemenangan dan meraih tiga mata penuh mengatasi Nurinsafi HT dengan jaringan besar 6-0.
TNB yang sebelum ini berkongsi satu mata dengan UniKL pada perlawanan pertama Jumaat lepas, nyata menguasai permainan dengan gearkan kemas dan tersusun di semua sudut yang menyukarkan Nurinsafi memberikan tentangan.
Muhammad Aminuddin Mohd Zain membuka jaringan awal menerusi pukulan penalti sudut pada minit ke-9 sebelum Muhammad Shahril menambah kedudukan dua minit kemudian menerusi strok penalti.
Nyata sekali, Nurinsafi gagal mengekang kemaraan bertali arus TNB yang menghukum lawan mereka dengan gol dari pukulan penalti sudut Syed Muhammad Syafiq Syed Cholan pada minit ke 25 sebelum Muhammad Shahril menjadikan kedudukan 4-0 pada minit ke 44.
Muhajir Abdu Rauf dan Muhammad Aminuddin Mohd Zain melengkapkan kemenangan besar TNB dengan jaringan pada minit ke-45 dan minit 56.
SABAH 0 – 2 TNB THUNDERBOLTS
Dalam perlawanan lain, Sabah gagal menyekat kemaraan TNB Thunderbolts biarpun menguasai sepanjang 60 minit perlawanan. Ini merupakan kekalahan kedua berturut-turut Sabah yang sebelum ini mengalami kekalahan besar 0-11 di tangan THT.
Kemenangan pertama itu sekaligus memberikan harapan buat TNB Thunderbolts untuk memperbaiki kedudukan keseluruhan. Skuad muda itu sebelum ini tewas 0-5 di tangan Maybank sebelum ini.
Dua jaringan pada separuh masa pertama cukup melegakan dengan jaringan padang awal Muhammad Amirol Aideed Arshad pada minit ke-7 seakan memberi petanda awal kejayaan Thunderbolts.
Sabah gagal memanfaat peluang yang terhidang di depan gol NB Thunderbolts yang kemudian mengukuh kedudukan menerusi jaringan padang Shafiq Ikmal Daniel Suzaini pada minit ke-24.
KEPUTUSAN PENUH:
THT 2 – 4 UniKL
Sabah 0 – 2 TNB Thunderbolts
UiTM 0 – 1 Maybank
Nurinsafi HT 0 – 6 TNB
PERLAWANAN SETERUSNYA:
LIGA HOKI WANITA MALAYSIA
15 Mac:
Mutiara Juniors-PSHA mln UniKL Ladies (6 ptg) NHS 2
PDRM Blue Warriors mln PKS Uniten-KPT (8 mlm) NHS 2
Sabah mln Young Tigress (8 mlm) NHS 1