Pemenang pingat emas acara badminton beregu lelaki di Kejuaraan Dunia 2022, Aaron Chia – Soh Wooi Yik antara calon berstatus juara dunia dalam senarai lima terbaik bagi merebut gelaran Atlet Terbaik Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) – 100PLUS 2022.

Kejayaan Aaron – Wooi Yik yang kini menghuni ranking keempat dunia dalam senarai Persekutuan Badminton Dunia (BWF) menundukkan gandingan Indonesia, Mohamad Ahsan – Hendra Setiawan dalam saingan edisi ke-27 yang berlangsung di Tokyo, Jepun meletakkan nama mereka sebagai satu daripada calon untuk merebut Anugerah Atlet Terbaik di majlis itu nanti.

Kejayaan Aaron-Wooi Yik itu telah menamatkan penantian Malaysia untuk melihat wakil negara menaiki podium selaku juara dunia.

Kedudukan mereka masih belum selesa kerana beberapa individu yang memegang status ‘jaguh dunia’ turut disenarai untuk merebut anugerah ini.

Rekod yang sama turut dilakar Lim Kok Leong dari sukan snuker dan billiard apabila mengesahkan status sebagai juara dunia di Kejohanan Snuker Amatur Dunia 2022 di Antalya, Turkiye.

Atlet berusia 27 tahun itu menundukkan Juara Asia, Amir Sarkosh dari Iran dengan kemenangan 5-0 selepas pertarungan 16 minit.

Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah atau dikenali Mike Mahen antara yang disenarai untuk merebut gelaran Atlet Terbaik 2022. Disember 2022 meninggalkan detik manis buat atlet bina badan negara berusia 49 tahun ini yang menaiki podium selaku juara dunia Kejohanan Bina Badan dan Sukan Fizik Dunia buat kali kelima dalam kariernya selepas memenanginya pada 2016, 2017, 2018 dan 2019.

Sukan angkat berat turut menarik perhatian untuk dilihat layak berada dalam lima senarai pendek Anugerah Atlet Terbaik 2022.

Muhammad Aniq Kasdan mencipta sensasi apabila memecahkan rekod Remaja Asia bagi kategori 61kg di Kejohanan Angkat Berat Asia 2022 yang berlangsung di Manama, Bahrain.

Atlet berusia 21 tahun itu melakukan Angkatan seberat 160kg (clean and jerk) sekali gus memperbaharui rekod yang dipegang Kim Chung-Guk dari Korea Utara ketika beraksi di Kejohanan Belia dan Remaja Asia pada 2019 Meskipun berusia 17 tahun, Ng Joe Ee menjadi satu-satunya atlet wanita yang berjaya menempatkan diri dalam lima atlet terbaik bagi tahun 2022.

Gimnas muda dalam pembikinan ini turut meraih dua pingat emas di temasya Sukan Komanwel di Birmingham dalam aparatus bola dan riben.

Sementara itu, lima calon bagi kategori Anugerah Atlet Para Terbaik 2022 telah dikenal pasti bagi Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) – 100PLUS 2022 nanti.

Pemenang Anugerah Atlet Para Terbaik 2019 Bonnie Bunyau Anak Gustin antara atlet para negara yang disenarai bagi tahun 2022 untuk persaingan merebut anugerah kali ini.

Bonnie mengharumkan nama negara apabila meraih pingat emas kategori 72 kg di Kejohanan Powerlifting Para Terbuka Asia Oceania di Pyeongtek, Korea Selatan.

Beliau yang juga juara Paralimpik Tokyo 2020 melakukan angkatan seberat 213 kg untuk memastikan podium menjadi miliknya.

Turut disenarai adalah jaguh badminton Cheah Liek Hou yang berjaya merangkul gelaran juara kali ketujuh di Kejohanan Badminton Para Dunia yang berlangsung di Jepun selepas menundukkan seteru utamanya, Dheva Anrimusthi dari Indonesia si pentas final.

Pemenang kedua-dua anugerah utama ini akan menerima hadiah wang tunai RM10,000 dan trofi.

Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) – 100PLUS 2022 dijadual berlangsung pada 29 Ogos 2022 di Petaling Jaya.

Selain mengiktiraf atlet yang cemerlang serta mengharumkan nama Malaysia sepanjang tahun 2022, turut dirai pada majlis Anugerah SAM-100PLUS adalah wartawan sukan yang berpeluang memenangi hadiah wang tunai keseluruhan lebih RM50,000.

Anugerah dibahagi kepada enam kategori;– Laporan Berita Terbaik (Media Cetak), Laporan Berita Terbaik (Media Elektronik), Ulasan Berita Terbaik (Media Cetak), Ulasan Berita Terbaik (Media Elektronik), Laporan Khas Terbaik (Terbuka) dan Fotografi Sukan Terbaik.

Pemenang terbaik keseluruhan untuk kategori kewartawanan sukan akan dinobatkan sebagai penerima Anugerah Siebel dengan hadiah wang tunai RM RM7,000 beserta trofi.

Majlis Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) – 100PLUS 2022 dijangka dirasmikan oleh Menteri Belia dan Sukan (KBS) Hannah Yeoh.

Jelas Presiden SAM, Norismadi Abdul Manap, barisan kepimpinan sentiasa mencari pendekatan yang berbeza untuk memeriahkan majlis selain mengiktiraf pengamal media sukan di Malaysia.

“Untuk edisi kali ini, kami memperkenalkan Anugerah Pengulas Popular dengan enam calon telah dikenal pasti hasil perbincangan bersama dengan pihak berkaitan dan pemenang akan ditentukan menerusi undian orang ramai.

“Proses undian akan dilakukan menerusi laman sosial bermula hari ini dan kami mengharapkan bukan sahaja ahli SAM, tetapi komuniti sukan negara bersama-sama untuk memilih siapakah pengulas yang layak untuk memenangi anugerah ini,” kata Norismadi Abd Manap.

Pengeluar minuman isotonik terkemuka di Malaysia, 100PUS memainkan peranan yang penting dan menjadi rakan kongsi utama majlis anugerah ini.

Turut hadir pada majlis sidang media Anugerah SAM – 100PLUS 2022, Pengurus Perhubungan Kerajaan & Industri, Fraser & Neave Holdings Berhad, Norazrin Bin Norsyam Yee.

 

SENARAI ATLET TERBAIK SAM:

1995 – Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock (badminton) 1996 – Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock (badminton) 1997 – Nurul Huda Baharin (menembak)
1998 – Lim KengLiat (renang)

1999-2001 – TiadaAnugerah
2002 – Lim Keng Liat (renang) danS.Premila (karate-do) 2003 – Lim Keng Liat (renang)
2004 – Bryan Nikson Lomas (terjun)
2005 – Nicol Ann David (skuasy)
2006 – Koo Kien Keat-Tan Boon Heong (badminton) 2007 – Wong Mew Choo (badminton)
2008 – Lee Chong Wei (badminton)
2009 – Mohd Azizul Hasni Awang (berbasikal)
2010 – Pandelela Rinong (terjun)
2011 – Nur Suryani Taibi (menembak)
2012 – Pandelela Rinong (terjun)
2013 – Sazali Samad (binabadan)
2014 – Nicol Ann David (skuasy)
2015 – Pandelela Rinong (terjun)
2016 – Lee Chong Wei (badminton)
2017 – Mohd Azizul Hasni Awang (berbasikal trek)
2018 – Muhammad Rafiq Ismail (tenpin boling)
2019 – Mohd Azizul Hasni Awang (berbasikal trek)
2020 / 2021 – Mohd Azizul Hasni Awang (berbasikal trek)

ATLET PARALIMPIK TERBAIK SAM:

2016 – Mohd Ridzuan Mohd Puzi (olahraga)
2017 – Muhd Ziyad Zolkefli (olahraga)
2018 – Mohd Ridzuan Mohd Puzi (olahraga)
2019 – Bonnie Bunyau Gustin (power lifting)
2020 / 2021 – Bonnie Bunyau Gustin (power lifting)

SENARAI ANUGERAH:
Anugerah Kewartawanan:
1. Laporan Berita terbaik media cetak
2. Laporan berita terbaik media elektronik 3. Ulasan berita media cetak
4. Ulasan berita terbaik media elektronik 5. Laporan khas terbaik terbuka
6. Fotografi terbaik
7. Anugerah siebel

Anugerah Tambahan:

1. Pengulas Sukan Popular
2. Anugerah Tokoh Kepimpinan 3. Atlet Terbaik
4. Atlet Para Terbaik
5. Atlet Muda Terbaik
6. Persatuan Dinamik
7. 100PLUS ‘Out Do Yourself’

- Advertisement -