Oleh Muhammad Aiman
Penamat dramatik menanti aksi terakhir Divisyen Perdana Liga Hoki Malaysia yang akan berlangsung Ahad apabila tiga pasukan, Terengganu Hockey Team (THT – 19 mata), Sapura (18 mata) dan Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC – 17 mata) kesemuanya berpotensi menamatkan musim selaku juara.
Kedudukan ‘pemandu’ tetap milik juara bertahan, THT yang buat pertama kalinya melonjak ke puncak liga hasil kemenangan ke atas Sapura dan mereka boleh mengekalkan kejuaraan di bumi Terengganu buat musim ketiga berturut-turut andai menewaskan Tenaga Nasional Berhad (TNB) di gelanggang sendiri.
Begitupun, TNB pada hakikatnya bukan calang-calang pasukan, mereka mara sehingga ke perlawanan akhir Piala Tan Sri P. Alagendra dengan menyingkirkan THT di separuh akhir manakala ketika aksi pusingan pertama antara kedua-dua pasukan bulan lalu, TNB tampil bertenaga bangkit mengikat THT 4-4.
Justeru, THT silap jika mereka menjangkakan aksi mudah apabila berdepan TNB dan seandainya skuad bimbingan Sarjit Singh itu gagal, Sapura bimbingan Yahya Atan dilihat bersedia menyambar peluang untuk memintas.
Sapura yang masih segar dengan kejayaan menjulang Piala Tan Sri P. Alagendra pada Selasa lalu akan berdepan pasukan tangga keempat, Maybank di Stadium Tun Razak.
Dengan Maybank juga memerlukan kemenangan untuk menempah tiket beraksi di separuh akhir Piala TNB, Sapura perlu berada pada prestasi terbaik mereka sambil mengharapkan TNB mengulangi aksi ditunjukkan ketika menundukkan KLHC pada Jumaat.
Atau mungkinkah tuah akan memihak kepada KLHC yang akan berdepan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) di Stadium Hoki Jalan Pantai? KLHC sepatutnya menyalahkan diri sendiri kerana melepaskan peluang terbaik untuk kembali memimpin kedudukan liga, dan mereka kini bersemangat tinggi mahu menebus kesilapan itu.
Kapten KLHC, Sukri Abdul Mutalib yang juga pemain kebangsaan berkata, “Kami tidak beraksi sepertimana diharapkan ketika tewas kepada TNB dan kami tekad mahu perbaiki kesilapan itu. Kami tiada pilihan selain menang, sambil mengharapkan kedua-dua THT dan Sapura gagal mencatat kemenangan.”
Untuk rekod, KLHC adalah pasukan paling berjaya dalam sejarah MHL dengan tujuh gelaran liga, yang mana kesemuanya dimenangi secara berturut-turut dari tahun 2006 – 2013 sebelum dilepaskan kepada THT.