Oleh Muhammad Aiman
Pesilat sensasi negara, Mohd Jufferi Al Jamari semakin hampir untuk mengenggam gelaran juara dunia buat kali ketiga berturut-turut setelah melangkah ke final Kejohanan Pencak Silat Dunia di Bali, sebentar tadi.
Olahragawan Kebangsaan 2015 itu yang beraksi dalam Kelas Putra E tidak berdepan masalah besar menyingkirkan pesilat tuan rumah, Komang Harik Ai Putra dengan keputusan 5-0 di peringkat separuh akhir.
“Jika berlawan dengan pesilat tuan rumah dan bermain tanpa teknik jatuhan, memang susah nak menang. Ini kerana setiap jatuhan memberi mata yang banyak, iaitu empat mata dan alhamdulillah saya dapat melakukannya,” ujar Jufferi yang melakukan lima jatuhan pada pertarungan itu.
Lawan yang menanti Jufferi di perlawanan akhir yang dijadual berlangsung esok (Khamis) adalah sama ada dari Belanda ataupun Vietnam.
Kejayaan Jufferi menepati ramalan melangkah ke final setidak-tidaknya menceriakan kem negara yang sebelum ini dipalit beberapa insiden kontroversi termasuk ketika perlawanan Kelas Putra C di antara Zarish Hakim Shukor dan pesilat tuan rumah, Hanifah Yudani pada Selasa.
Perlawanan itu menyaksikan Indonesia diberikan kemenangan percuma meskipun Hanifah didapati melanggar peraturan dengan menendang ke kepala dan menyebabkan Zarish pengsan di atas gelanggang.
Dalam pada itu, selain Jufferi, turut mara ke perlawanan akhir adalah Razak Ghazali (Kelas Putra D) dan Siti Rahmah M.Nasir (Kelas Putra E) yang menang ke atas pesilat Belanda, Minouche Van Der Houven.