Leong Jun Hao sah dinobat sebagai juara Divisyen 2 kejohanan badminton Jemputan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selepas mengekalkan rekod tanpa kalah dalam keemua perlawanan sekaligus mengungguli carta kedudukan.

Kepuasan jelas terpancar di wajah Jun Hao selepas menewaskan seteru utamanya, Lim Chong King pada perlawanan terakhir Divisyen 2 di Akademi Badminton Malaysia dengan kemenangan straight set 21-19, 21-16.

“Cara permainan kami hampir sama kerana saya dan Chong King sudah lama bermain bersama sama sejak kecil. Permainan saya lebih meyakinkan meskipun dia mendahului dan berjaya mencari jalan untuk menang.

“Minggu depan saingan akan lebih sengit lebih lebih lagi bersaing dengan pemain senior. Sudah tentu saya perlu bersedia dengan lebih gigih lagi dan perlu lihat siapa lawan saya sebelum merangka strategi,”kata Jun Hao.

Dalam pada itu, Lim Chong King mengakui strategi dan kelajuan Jun Hao lebih kemas dan berjaya membaca cara permainannya.

Namun ia bukan satu perkara yang perlu dirisaukan kerana Chong King lebih mahu memberi tumpuan terhadap persiapan sebelum beraksi di Divisyen 1 minggu depan.

“Jurulatih melihat saya perlu memperbaiki cara bermain ketika lawan sedang mendahului mata selain meningkatkan lagi kelajuan.

“Sekarang adalah masa untuk berehat secukupnya kerana perlawanan yang padat sepanjang tiga hari ini dan bersedia kerana minggu depan akan menjadi lebih penat,”kata Chong King.

 

Sementara itu, jurulatih perseorangan negara, Datuk Tey Seu Bock berpuas hati dengan prestasi enam pemain pemain yang beraksi di Divisyen 2.

Semangat yang ditonjolkan terutama ketika beraksi di gelanggang selepas lebih empat bulan tidak beraksi di pertandingan kompetitif dan berusaha dengan gigih untuk mencari kemenangan adalah sesuatu yang membanggakan Seu Bock.

“Saya tidak mahu membandingkan dengan mana mana pemain kerana apa yang penting adalah mereka tidak mengalami kecederaan.

“Saya juga mahu lihat kemampuan dua pemain untuk mengikut rentak pemain pemain senior di Divisyen 1 minggu depan,”kata Seu Bock.

Muhammad Shaqeem Eiman Shahyar ditangga ketiga manakala Low Eu Cong, Wyman Goh dan Ter Chun Long masing masing menghuni kedudukan keempat, kelima dan keenam.

 

Kejohanan Badminton Jemputan BAM 2020 merupakan kejohanan anjuran BAM selepas empat bulan tanpa sebarang pertandingan kompetitif susulan pandemic Covid 19 yang akan berlangsung di Akademi Badminton Malaysia (ABM).

Kejohanan berlangsung di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara  secara tertutup tanpa kehadiran penyokong menggunakan format pertandingan ‘round robin’ dijalankan secara tertutup dan dibahagi kepada dua peringkat.

Bagi peringkat 1, pertandingan akan berlangsung dari 5 – 7 Ogos melibatkan enam pemain simpanan yang akan bersaing merebut dua kelompok teratas sekaligus bakal beraksi di divisyen utama.

Divisyen 1 pula akan bermula dari 12– 16 Ogos dibahagi kepada lima kategori dan akan disertai 52 pemain senior termasuk lapan pemain profesional.

 

KEPUTUSAN PERLAWANAN DIVISYEN 2

Leong Jun Hao – Lim Chong King (21-19, 21-16)

Low Eu Cong – Wyman Goh (21-12, 21-13)

Muhammad Shaqeem Shahyar – Ter Chun Long (21-13, 21-12)

- Advertisement -