Pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao dipaksa bermain tiga set sebelum mengesahkan kemenangan sekaligus muncul juara di Kejohanan Badminton Remaja Asia di Jakarta, Indonesia.
Pemain berusia 18 tahun itu turun berdepan wakil dari China, Bai Yupeng dipentas final, jelas tidak diberi ruang mudah.
Seakan akan hilang rentak, Bai Yupeng mudah ditewaskan Jun Hao dengan kemenangan 21-6 di set pertama, namun beliau bangkit dengan aksi yang lebih kemas di set kedua.
Jun Hao sedar lawannya sudah menemui rentak dan keadaan semakin getir apabila kedua dua pemain saling berkejaran mata sebelum kedudukan terikat 20 sama.
Tidak mampu mengekang gerakan lawan, Jun Hao akur tewas 20-22 diset kedua sekaligus memaksa pemenang ditentukan menerusi set penentuan.
Walaupun bertarung sengit di set kedua, Bai Yupeng tidak menunjukkan tanda kepenatan, sebaliknya terus menghimpit Leong Jun Hao pada satu ketika.
Namun Jun Hao tampak lebih tenang untuk mencari ruang dan peluang untuk meraih mata.
Selepas 74 minit bertarung, Leong Jun Hao dinobat selaku juara selepas menutup set penentuan dengan kemenangan 21-17 sekaligus menamatkan penantian Malaysia selama empat tahun.
Kali terakhir Malaysia muncul juara dalam kategori perseorangan lelaki pada 2013 di Kota Kinabalu menerusi Soo Teck Zhi. – OLEH KU MOHD LUFTI