Oleh Muhammad Aiman
Status sebagai atlet âveteranâ tidak menjadi alasan buat penerjun olimpik negara, Cheong Jun Hoong untuk mengehadkan penglibatannya dalam pertandingan kompetitif malah dia bersedia untuk terus memperlihatkan kemampuannya menyerlah dalam kedua-dua acara papan anjal dan platform.
Bukan mudah untuk seorang atlet menguasai dua disiplin berbeza namun bagi penerjun berusia 26 tahun itu, yang merupakan atlet kedua tertua dalam pasukan terjun negara selepas Leong Mun Yee (31 tahun) dia tidak bermasalah menyahut cabaran itu.
âSaya tidak kisah jika jurulatih mahu saya terus mengambil bahagian dalam acara platform dan papan anjal, badan saya masih dalam keadaan terbaik dan saya bersedia untuk menggandakan tugas dan latihan selagi khidmat saya diperlukan,â kata Jun Hoong yang meraih pingat perak bersejarah menerusi gandingannya dengan Pandelela Rinong dalam acara 10m platform seirama di Rio De Janeiro 2016.
Tambah pakar acara papan anjal itu, âSaya tahu ianya sesuatu yang sukar, dan saya sudahpun merasai pengalaman itu sepanjang persiapan ke olimpik baru-baru ini sehinggakan secara jujurnya saya pernah terfikir untuk berputus asa.
âTetapi saya terus kuatkan semangat kerana saya memang sukakan cabaran. Lebih-lebih lagi sesi latihan saya tidak akan membosankan kerana akan ada banyak benda untuk saya perbaiki dan tambahbaik sepanjang latihan.â
Ketika di Rio tempoh hari, Jun Hoong turut mengambil bahagian dalam acara 3m papan anjal seirama dan individu, menjadikannya satu-satunya penerjun negara yang beraksi dalam tiga acara.
Bagi acara 3m papan anjal seirama, gandingannya bersama Nur Dhabitah Sabri seharusnya menghadiahkan pingat gangsa namun kesilapan yang dilakukan ketika terjunan keempat menyaksikan mereka berputih mata menamatkan saingan di tempat kelima.
Jun Hoong juga gagal menyerlah dalam acara kegemarannya 3m papan anjal individu apabila sekadar menduduki tempat ke-21 daripada 29 penerjun di pusingan kelayakan dan dan gagal melangkah ke separuh akhir.
âSaya akui prestasi saya tidak begitu memberansangkan dalam acara papan anjal di Rio, tetapi ianya biasa terjadi seorang atlet tidak konsisten apabila bertanding dalam banyak acara dalam satu tempoh yang singkat. Terdapat perbezaan dari aspek teknikal dan pendekatan bila anda beralih dari 3m papan anjal ke 10m platform dan sebaliknya,â ujarnya.
Sementara itu, penerjun sensasi negara, Pandelela berkata dia akan berehat seketika dari mengambil bahagian dalam mana-mana pertandingan buat sementara waktu bagi memberi tumpuan kepada pengajiannya dalam bidang Sains Sukan di Universiti Malaya.
âSebelum ini saya pernah berjanji dengan keluarga untuk tidak mengetepikan pelajaran. Jadi selepas beri tumpuan 100 peratus pada Sukan Olimpik sudah tiba masanya saya alihkan tumpuan kepada pelajaran. Saya akan skip beberapa pertandingan tetapi saya akan menjalani latihan seperti biasa.
âSaya diberi cuti 10 hari jadi saya akan jumpa pensyarah saya untuk tanya lebih lanjut mengenai pelajaran saya kemudian balik ke Kuching untuk meluangkan masa bersama keluarga. Selepas itu akan kembali sertai latihan pada minggu depan.â
Pandalela yang gagal mempertahankan pingat gangsa acara 10m platform individu yang dimenanginya empat tahun lalu bagaimanapun menjelaskan keputusannya untuk berehat tiada kena mengena dengan kecederaan yang dialaminya sebelum beraksi di Rio.