Cheong Jun Hoong meraih pingat emas dalam acara terjun 10 meter (m) platform individu wanita di Kejohanan Akuatik Dunia (FINA) di Budapest, Hungary. Kredit Foto – Kamarul Akhir / www.asiana.my
Cheong Jun Hoong meraih pingat emas dalam acara terjun 10 meter (m) platform individu wanita di Kejohanan Akuatik Dunia (FINA) di Budapest, Hungary. Kredit Foto – Kamarul Akhir / www.asiana.my

Juara dunia baru dalam acara terjun, Cheong Jun Hoong berjanji tidak akan terbuai dengan status itu dan tekad menghadiahkan lebih banyak pencapaian cemerlang terutamanya di Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 bulan depan.

Atlet berasal dari Perak itu berkata kejayaan memenangi pingat emas 10m platform individu di Budapest, Hungary minggu lalu bukan alasan untuknya berasa selesa sebaliknya akan memberi tumpuan penuh untuk memperbaiki prestasi diri.

Menteri Belia dan Sukan, YB Brig Jen Khairy Jamaluddin menyambut kepulangan Cheong Jun Hoong dan rakan-rakan atlet lain dalam Majlis Sambutan Kepulangan Wirawan & Wirawati Negara. Kredit Foto – Kamarul Akhir / www.asiana.my

“Selepas setiap kejohanan saya perlu bermula semula dari bawah. Gelaran juara dunia adalah satu sejarah bagi saya, saya tidak boleh terus memikirkan mengenainya kerana tiada siapa akan bergelar juara buat selamanya. Saya perlu bekerja keras dan konsisten sewaktu latihan.

“Saya tidak menganggap status juara dunia sebagai satu tekanan. Kerana setiap pertandingan akan ada pemenangnya sama ada nombor satu, dua atau tiga bergantung kepada sejauh mana prestasi kita pada hari tersebut. Apa yang penting saya akan cuba sentiasa berikan terbaik untuk harumkan nama negara tanpa memikirkan apa keputusannya,” kata penerjun senior itu.

Cheong Jun Hoong diraikan dalam satu majlis sambutan gemilang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Kredit Foto – Kamarul Akhir / www.asiana.my

Jun Hoong dan rakan sepasukan yang beraksi di Kejohanan Terjun Dunia Budapest minggu lalu antaranya Pandelela Rinong, Ooi Tze Liang dan Leong Mun Yee diraikan dalam satu majlis sambutan gemilang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada Isnin.

Selain muncul atlet Malaysia pertama memenangi emas di Kejohanan Terjun Dunia dengan memecahkan dominasi penerjun China, Jun Hoong turut berganding cemerlang untuk meraih pingat gangsa dalam acara 10m platform seirama.

“Kejayaan-kejayaan besar atlet kita di pentas dunia sudah tentunya dapat menyuntik inspirasi kepada atlet-atlet lain terutama apabila beraksi di KL2017 tidak lama lagi. Saya gembira untuk menjadi salah seorang atlet tersebut yang memberikan inspirasi kepada mereka dan berharap Malaysia akan terus cemerlang melahirkan atlet bertaraf dunia,” tambahnya.

Mengenai persiapan bagi menghadapi KL2017, Jun Hoong berkata semuanya berjalan lancar dan sesi pemulihan yang cukup akan mrmbantunya berada dalam keadaan cukup bersedia bagi beraksi di temasya dwitahunan itu.

Ketika di Singapura 2015, Malaysia menyapu bersih lapan pingat emas acara terjun dengan Jun Hoong menyumbang satu daripadanya. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -