Latihan selama sebulan tampak memberi impak besar buat pelumba trek wanita negara, Jupha Somnet yang menyumbang pingat emas pertama Malaysia di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2018 di Velodrom Nasional, Nilai.

Tiada sasaran yang diletakkan oleh pelumba berusia 24 tahun ini kerana ‘meninggalkan’ trek hampir setahun sebelum kembali ketika Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

“Tahun lepas saya tidak menyertai ACC dan hanya kembali ke trek pada bulan Mei selepas menamatkan Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK) Konstabel Wanita di Segamat, Johor selama enam bulan bermula dari Oktober 2016.

“Saya terkejut kerana berjaya mencipta satu kejayaan yang sungguh bermakna bagi diri saya kerana ini merupakan pingat emas pertama saya selepas membuat empat penampilan dalam kejohanan ini,” kata Jupha.

Pelumba kelahiran Perlis ini meraih 35 mata, mengatasi pelumba Hong Kong, Xiaojuon Diao (25 mata) dan Ke Xin Zeng (21 mata) dari Taiwan yang melengkapkan podium bagi acara point race.

Jupha sebelum ini pernah meraih pingat perak dalam acara sama pada edisi 2016 di Jepun.

Sementara itu, trio pecut negara menewaskan pasukan Korea Selatan untuk meraih pingat gangsa dalam acara pecut berpasukan kategori remaja.

Gandingan Muhammad Ridwan Sahrom, Amar Danial Masri dan Fariz Haikal Mohamad Kadir melakar masa 47.149 saat, menewaskan gandingan Shinjunseo Moon, Sanghyuk Yoo, Donghyeon Han yang mencatat 47.359saat pada penentuan tempat ketiga dan keempat.

Pingat emas acara itu menjadi milik pasukan India yang diwakili Esow, Mayur Pawar, James Keithellakpam Singh dengan catatan masa 46.070s menewaskan pencabar dari Jepun.

Osada Ryuken, Matsumoto Hidenosuke, Kurose Kotaro meraih pingat perak selepas mencatatkan masa 46.125s.

Dalam pada itu, pasukan kejar-mengejar berpasukan lelaki elit negara terdiri daripada Irwandie Lakasek, Nur Aiman Rosli, Mohd Afiq Huznie Othman, Muhammad Danieal Haikkal Eddy Suhaidee lakar rekod baharu kebangsaan empat minit 09.600 saat pada pusingan kelayakan memadam rekod sebelum ini 4:09.999s.

Sebelum ini, rekod itu dilakukan oleh Emain Firdaus Mohd Zamri, Muhammad Aiman Zariff, Irwandie dan Mohd Afiq pada Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur.

 

- Advertisement -