dharmaraj
Mohd Dharmaraj

Oleh Muhammad Aiman

Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) memutuskan untuk tidak membenarkan semua tujuh jurulatih yang terlibat dengan skuad kebangsaan untuk mengendalikan pasukan dalam saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) yang akan berlangsung bulan depan.

Naib Presiden MHC yang juga pengerusi jawatankuasa kejurulatihan, Datuk Ow Soon Koi berkata keputusan itu adalah untuk memastikan agar kesemua mereka dapat memberi tumpuan penuh terhadap tugas bersama pasukan kebangsaan, selain mengenalpasti bakat-bakat baru tanpa sebarang kepentingan.

“Kita hanya tidak membenarkan mereka mengendalikan atau membimbing mana-mana pasukan, tetapi mereka bebas menyaksikan saingan MHL tanpa halangan. Ianya sukar untuk seorang jurulatih melatih pasukan kelab dalam masa sama mengendalikan tugas bersama pasukan kebangsaan, termasuk dalam aspek pemilihan dan penilaian pemain yang mungkin juga akan berat sebelah.

“Contohnya jika seorang jurulatih itu mengendalikan pasukan UniKL, dia sudah tentunya akan mengutamakan pemain UniKL untuk dipilih ke skuad kebangsaan, kita tidak mahu situasi tersebut berlaku. Biarlah jurulatih ini fokus pada tanggungjawab kebangsaan dan mencari bakat baru dalam saingan MHL.

“Dalam masa sama, keputusan ini akan juga akan memberi peluang kepada jurulatih-jurulatih lain untuk buktikan sesuatu dan membantu mewujudkan kelompok jurulatih yang lebih ramai, tidak hanya terhad kepada jurulatih yang sama sahaja,” kata Ow.

Dengan keputusan ini, tujuh jurulatih yang tidak lagi terlibat mengendalikan pasukan MHL adalah Stephen Van Huizen (ketua jurulatih skuad lelaki), Lim Chiow Chuan (penolong jurulatih skuad lelaki), Tai Beng Hai (penyelaras skuad pembangunan), Mohd Dharmaraj Abdullah (jurulatih skuad wanita), Lailin Abu Hassan (penolong jurulatih skuad wanita), serta Wallace Tan (jurulatih pembangunan lelaki) dan K.Gobinathan (jurulatih pembangunan wanita).

Saingan Liga Perdana MHL akan membuka tirai pada 15 Ogos depan, dan seperti lazimnya membabitkan enam pasukan iaitu Pasukan Hoki Terengganu (THT), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Sapura, Maybank, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC).

Untuk rekod, TNB telahpun awal-awal lagi mencari jurulatih baru dengan melantik M.Kalisweran sebagai pengendali, manakala bekas pemain kebangsaan Saiful Azli Abdul Rahman mengambil alih tugas di KLHC yang dibimbing Wallace Tan musim lalu.

Sapura yang dibimbing Beng Hai telah menggantikannya dengan Yahya Atan manakala bekas juara KLHC yang dibimbing Dharmaraj sebelum ini telahpun mencari pengganti dengan jurulatih dari Singapura Harun Rashid dijangka mengisi kekosongan tersebut.

Hanya THT dan UniKL mengekalkan jurulatih sama – Sarjit Singh terus mendapat kepercayaan setelah membawa THT muncul juara berganda sejak dua tahun berturut-turut pada 2014 dan 2015, manakala A.Arulselvaraj kekal membimbing UniKL.

- Advertisement -